Bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh menyifatkan perpaduan pelbagai kaum di Malaysia merupakan resepi keamanan dan kemakmuran yang dikecapi rakyat di negara ini.

Wan Zahidi yang dinobatkan sebagai penerima Tokoh Anugerah Perdana Maulidur Rasul 1437 Hijrah/2015 berkata setiap lapisan masyarakat di negara ini harus sentiasa memupuk perpaduan agar kejayaan yang dicapai pada hari ini tidak akan tercicir.

"Perpaduan merupakan nadi pembangunan seperti langkah awal Nabi Muhammad SAW menubuhkan kerajaan Madinah dengan menyatukan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

"Alhamdulillah, keamanan dan keselamatan wujud di Malaysia. Namun perlu berhati-bati kerana terdapat pelbagai anasir yang cuba memporakperandakan kita. Kalau tidak berhati-hati, apa yang dicapai akan tercicir," katanya.

Wan Zahidi, 73, anak kelahiran Gerik, Perak, menerima RM50,000, trofi dan sijil penghargaan.

Beliau berkata demikian selepas menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

FOTO: Sambutan Maulidur Rasul 1437H Peringkat Kebangsaan

BACA: Agong dukacita tindakan persoal agensi Islam

BACA: Pemimpin wajar contohi sifat kepimpinan Rasulullah, saran netizen


Selain Wan Zahidi, lapan lagi individu turut menerima Anugerah Maulidur Rasul dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000, trofi dan sijil penghargaan.

Mereka ialah Datin Prof Madya Dr Paizah Ismail, Datuk Baharuddin Abu Kassim, Prof Dr Che Muhaya Mohamad, Othmad Md Yusoff, Ebit Irawan Ibrahim Yew, Dr Mundzir Abdullah, Nurul Eeman Mansor dan Mithun Jay Langgim.

Nurul Eeman, 17, calon termuda menerima anugerah itu yang aktif dalam kegiatan sukarelawan berkata beliau akan menjadi contoh kepada rakan-rakan dan generasi muda menunjukkan cara pemikiran dan melakukan kerja dengan cepat.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan saya memikul tanggungjawab yang besar mendapat anugerah ini. Saya berharap akan menggunakan penghargaan ini ke arah kebaikan dan membawa manfaat kepada negara," katanya.

Sementara Mithun Jay Langgim, yang menggunakan kepakaran sebagai jurulatih pendakian menyelamatkan 137 pendaki ketika kejadian gempa bumi di Ranau, Kota Kinabalu berasa terharu dengan penghargaan ini.

Beliau berkata ia merupakan tanggungjawab besar kepada masyarakat dan berharap menjadi contoh kepada generasi akan datang.

Dr Mundzir, 24, juga melahirkan penghargaan kepada kerajaan serta berharap pemilihannya sebagai satu inspirasi kepada umat Islam untuk belajar bidang sains khususnya Fizik dan memberi sumbangan kepada umat Islam dan negara.