IPOH: Perpustakaan Awam Negeri Perak di Jalan Raja Dihilir di sini yang menjadi tumpuan umum ditutup selama setahun bermula 15 Januari lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, penutupan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan bangunan berkenaan.

Menurutnya, kerja-kerja yang melibatkan pembaikan bumbung dan lantai serta pendawaian itu dijadualkan siap pada Mei 2025 dengan kos RM2.7 juta di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Bahan bacaan yang ada di perpustakaan ini telah ditempatkan di dua unit rumah kedai yang kita sewa bagi tujuan keselamatan.

"Ada juga bahan-bahan ini yang kita hantar ke perpustakaan-perpustakaan cawangan di seluruh negeri.

"Jadi sepanjang penutupan ini, orang ramai boleh berkunjung ke semua perpustakaan cawangan dan desa yang ada di seluruh negeri untuk meneruskan aktiviti mereka khususnya menambah ilmu dan pengetahuan," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Perpustakaan Awam Negeri Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, Rafidah Abdul Aziz.

Khairudin berkata, kali terakhir bangunan tiga tingkat itu dinaik taraf pada 2002 lalu, namun hanya melibatkan bahagian tengah sahaja.

"Kali ini kita lakukan secara menyeluruh supaya tidak lagi berlaku masalah kebocoran dan sebagainya serta dapat memberi lebih keselesaan kepada pengguna apabila ianya siap nanti," katanya.

Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak itu turut memaklumkan, pembaharuan yang dibawa kepada perpustakaan itu adalah selari dengan usaha kerajaan negeri ke arah perpustakaan digital.

"Perpustakaan digital ini memang dalam perancangan, prosesnya akan kita laksanakan sebaik kerja-kerja naik taraf fizikal bangunan ini selesai," katanya. - Sinar Harian