MELAKA: Berbeza kaum dan agama bukan halangan kepada masyarakat Cina di negeri ini untuk menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan terutama dalam meraikan bulan Ramadan.

Ia dibuktikan oleh Persatuan Ikatan Cina Melaka yang menyumbang 1.5 tan ikan pelbagai jenis termasuk sotong, yang dapat diagihkan kepada kira-kira 1,000 keluarga di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong bagi menyemarakkan lagi bulan puasa.

Ketua Penerangannya, Goh Han Meng berkata, siri agihan hasil sumbangan orang ramai itu telah dilakukan sebelum Ramadan lagi di banyak kawasan tanpa mengira kaum dan agama di Melaka.

"Kita dah mula program bersedekah ini sebelum puasa lagi tetapi sempena Ramadan ini kami fokus kawasan majoriti Melayu untuk sama-sama kami meraikan bulan penuh makna bagi umat Islam ini.

"Penyumbang yang menyumbang ini juga dari pelbagai latar belakang dan persatuan kami hanya membantu menyampaikan... penyumbang memang berhasrat untuk bersedekah di bulan Ramadan ini," katanya.

Sumbangan ikan itu memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 1,000 keluarga di DUN Duyong.

Terdahulu, persatuan itu menyerahkan 1.5 tan pelbagai jenis ikan antaranya cencaru, kerisi, gelama, mata besar dan bawal selain sotong kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Noor Helmy Abdul Halem untuk diagihkan kepada masyarakat sekitar.

Mengulas lanjut ujar Han Meng, agihan yang dibuat menerusi wakil rakyat di setiap DUN itu bukan hanya memberi fokus kepada kawasan perumahan, sebaliknya sumbangan turut diberikan kepada pusat tahfiz dan madrasah.

"Kebanyakan penyumbang kita ini mereka tidak kaya pun, tetapi walaupun begitu mereka ini semua teruja untuk sama-sama bersedekah di bulan Ramadan walaupun semuanya berbangsa Cina.

"Kerana kita tahu apabila bulan Ramadan, banyak makanan diperlukan lagi-lagi di pusat-pusat tahfiz dan oleh itu kami terpanggil untuk membuat agihan sumbangan ini," tambahnya.

Sementara itu, Mohd Helmy berkata sumbangan yang diterima itu adalah kedua diterima daripada pertubuhan itu dan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 1,000 keluarga di DUN Duyong.

"Saya berterima kasih kepada mereka dan mengalu-alukan lagi mana-mana NGO untuk bersama-sama berkongsi rezeki di bulan Ramadan ini mengikut cara dan kemampuan masing-masing.

"Agihan ini kami buat dari rumah ke rumah dan kita utamakan golongan rentan dalam membantu meringankan beban mereka di bulan Ramadan yang mulia ini," ujarnya.