GEORGE TOWN: Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) tetap dengan pendirian mereka membantah projek mega tambakan laut di perairan Selatan Pulau Pinang (PSR) yang didakwa menjejaskan sumber pendapatan komuniti nelayan dan merosakkan alam sekitar.

Pengerusinya Ibrahim Che Rose berkata kerajaan negeri juga gagal membayar pampasan secukupnya kepada komuniti nelayan di Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah yang terkesan dengan pelaksanaan projek tambakan Seri Tanjung Pinang 1 (STP1) dan Seri Tanjung Pinang 2 (STP2).

"Sehingga hari ini, hanya RM500 sahaja yang telah dibayar walaupun dijanjikan pembayaran lengkap sebanyak RM20,000 pada bulan Januari lepas," katanya dalam sidang media sini pada Isnin.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Kebajikan Nelayan Bayan Lepas Pulau Pinang Fajinah Jaafar dalam kenyataan berkata kerajaan negeri telah menawarkan skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dalam bentuk ex gratia atau pemberian antaranya bot baharu yang lebih besar dan enjin berkuasa tinggi.

Katanya turut ditawarkan ialah jeti baharu, saluran navigasi yang menyediakan akses 24 jam ke laut, peluang pekerjaan dan perniagaan, program latihan dan peningkatan kemahiran, skim pemilikan rumah dan sokongan pendidikan untuk anak-anak nelayan.

"Janganlah percayakan tuntutan pihak-pihak yang mempunyai agenda peribadi tanpa memahami isu-isu yang sebenar di sini, sepatutnya membuat kajian terperinci dan mendengar rintihan nelayan tulen yang betul-betul turun ke laut untuk mencari pendapatan seharian," katanya dan menambah pihaknya telah memperoleh 1,521 tandatangan penduduk termasuk nelayan kawasan Selatan Pulau Pinang yang menyokong projek itu, Oktober tahun lepas.

Projek PSR seluas hampir 17 kilometer persegi ialah projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas, dengan pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai kira-kira RM46 bilion.

-- BERNAMA