KUALA LUMPUR: Persekitaran di tempat kerja boleh menyumbang kepada tekanan mental dan tidak harus dipandang ringan oleh mana-mana organisasi.

Ahli akademik Prof Madya Tan Sri Shamsul Bahari Shamsudin berkata, persekitaran yang negatif mendatangkan penyakit fizikal dan mental, termasuk masalah tingkah laku yang menyebabkan mutu kerja menurun.

"Kita juga ada faktor sosial demografi dan ekonomi. Yang ini berkait rapat dengan isu kestabilan pekerjaan, perjawatan, gaji, kos asas perbelanjaan yang semakin naik secara mendadak.

"Sekarang kos kehidupan kita semakin naik, ia tidak selari dengan isu gaji, perbelanjaan dan sebagainya," kata pakar pengurusan risiko kesihatan persekitaran dan pekerjaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dalam Pantau Agenda Reformasi pada Khamis.

Dalam pada itu, katanya, stigma umum juga menjadi punca pekerja gagal bersikap jujur sekiranya mereka mengalami kemurungan di tempat kerja.

Oleh yang demikian, beliau berkata, majikan perlu menyediakan langkah berkesan menanganinya untuk tenaga kerja berkualiti.  

Sementara itu, beliau memaklumkan, tekanan tempat kerja sekali gus akan memberi impak terhadap anak-anak di rumah yang mendorong kepada masalah penderaan, penceraian dan kes buli. 

"Apa yang berlaku di tempat kerja contoh masalah mental, ia tidak terkecuali memberi impak kepada kehidupan atau sosial dalam sesebuah masyarakat.

"Kerana apa yang berlaku di tempat kerja, biasanya kalau tidak dapat dikawal, dibendung dengan baik mereka akan bawa isu atau tekanan ini ke rumah dan kesudahan berlaku kes sosial," tambahnya.