Kebanyakan isu ditonjolkan pada persidangan perwakilan UMNO bahagian yang sedang berlangsung ketika ini adalah isu yang dekat di hati rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara yang dibangkitkan itu telah dikendalikan sebaik-baiknya oleh kepemimpinan di peringkat pusat dan negeri, kata Ahmad Zahid yang merupakan naib presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden parti.

Beliau berkata perwakilan mungkin sedar bahawa kepimpinan kerajaan pusat dan negeri telah dapat menangani banyak isu berteraskan rakyat dengan sebaiknya sehingga tiada usul-usul hangat yang ditonjolkan semasa persidangan perwakilan parti.

"Perkembangan ini turut berlaku susulan kerjasama yang erat bagi penyelesaian isu-isu tersebut bersama dengan ketua setiusaha kementerian dan ketua pengarah jabatan serta agensi,"katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi antara Prestariang Bhd dan Kementerian Dalam Negeri di sini, pada Selasa.

-- BERNAMA