Tidak seperti zaman awal 90an yang mana media sosial belum lagi menjadi popular di kalangan rakyat, media sosial kini adalah medium yang digunakan di hujung jari dan maklumat boleh diakses pada bila-bila masa sekalipun, termasuk berita-berita negatif terhadap negara. Dakwaan skandal rasuah, salah guna kuasa, pentadbiran yang tidak telus yang rata-ratanya disebar melalui media sosial hampir setiap hari telah melahirkan kegusaran pihak-pihak tertentu terhadap hala tuju masa depan negara. Kadang-kadang, sebaran berita ini tidak diselidiki dahulu dan dipercayai bulat-bulat tanpa usul periksa. Akhirnya, negara diburuk-burukkan bukan sahaja di dalam Malaysia, malah juga di luar.
Keadaan-keadaan ini mungkin telah menyebabkan beberapa individu terutamanya daripada golongan generasi muda bertindak melulu tanpa menunjukkan rasa hormat terhadap lambang-lambang negara seperti penghinaan terhadap lagu kebangsaan, institusi kesultanan dan yang terbaru, penghinaan terhadap institusi Yang DiPertuan Agong.
Sejauh manakah rakyat Malaysia menghormati lambang-lambang negara ini?
LAMBANG-LAMBANG NEGARA
Jalur Gemilang, Negaraku, bahasa Malaysia dan institusi Yang DiPertuan Agong (YDPA) adalah antara lambang-lambang negara yang dipandang tinggi dan dilindungi oleh perlembagaan dan undang-undang. Namun begitu, terdapat beberapa kejadian yang mana rakyat Malaysia, yang tergolong daripada golongan pelajar sehinggalah ke golongan ahli-ahli politik dan profesional telah, secara tersurat atau tersirat menghina lambang-lambang negara ini.
Namawee, sebagai contoh, telah menghina lagu Negaraku pada tahun 2007 dengan menggubah lagu kebangsaan negara Malaysia kepada Negarakuku, yang nyata adalah pelanggaran terhadap Seksyen 8(2) Akta Lagu Kebangsaan 1968. Pada tahun 2012, bekas ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan telah mencadangkan Jalur Gemilang diganti kerana menyerupai bendera Amerika Syarikat, ‘the Star-Spangled Banner’. Pada tahun 2013, aktivis Hishamudin Rais juga dikatakan telah menghina Jalur Gemilang kerana telah mencadangkan bendera ‘Sang Saka Malaya’ untuk menggantikan Jalur Gemilang sebagai bendera Malaysia.
Walaupun bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan negara, terdapat sebahagian daripada rakyat Malaysia yang tidak fasih bertutur dalam bahasa tersebut. Malah, ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen secara jelas enggan berbahasa Malaysia sewaktu sidang parlimen pada November 2015. Terkini, seorang individu berkelulusan perubatan, Dr. Mohd Faiz telah secara terbuka menghina insitusi YDPA dengan menyatakan tugas YDPA bukan sekadar untuk beribadah semata-mata.
Ini hanyalah sebahagian daripada kejadian yang berlaku yang melibatkan penghinaan lambang-lambang negara yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Kenapakah setelah menjadi negara berdaulat selama 60 tahun, lambang-lambang negara ini masih tidak dihormati oleh sesetengah rakyat Malaysia? Di manakah perasaan bangga dan nasionalisme rakyat terhadap lambang-lambang negara ini?
MALAYSIA YANG MERDEKA
Tidak seperti banyak negara-negara dunia ketiga yang berhadapan kemelut, Malaysia adalah sebuah kisah kejayaan. Menurut laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) pada tahun 2015, Malaysia tersenarai di kalangan salah sebuah negara perdagangan top 15 di serata dunia, segolongan dengan kuasa-kuasa besar ekonomi yang lain seperti China, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.
Sejak merdeka, Kuala Lumpur sebagai ibu kota negara telah berkembang menjadi sebuah kota metropolitan yang berpengaruh di rantau ini dan diiktiraf sebagai salah sebuah kota paling dikunjungi di serata dunia pada tahun 2016, menurut Majalah Conde Nast Traveller. Malaysia juga berupaya menempatkan diri sebagai salah sebuah negara teraman di dunia pada tahun 2016 di tangga ke 30 di kalangan lebih 200 negara di dunia, seperti yang diiktiraf oleh Global Peace Index (GPI) yang dikeluarkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan yang berpusat di Sydney, Australia. Di tangga 30, negara kita lebih aman dari negara-negara maju lain seperti Perancis. United Kingdom, Amerika Syarikat, Korea Selatan.
Malaysia yang ada sekarang bukanlah dibina oleh kaum Melayu, kaum Cina, kaum India ataupun bumiputra Sabah atau Sarawak sahaja, tetapi dibangunkan bersama-sama semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama mahupun keturunan.
JATI DIRI RAKYAT MALAYSIA
Fakta-fakta kejayaan negara seperti yang tercatat ini mungkin tidak diketahui oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Sering kali, kebanyakan rakyat Malaysia hanya memfokuskan atau membaca berita-berita yang buruk mengenai negara. Mungkin benar, sejarah membentuk jati diri.
Kurikulum pengajian sejarah di sekolah-sekolah di Malaysia banyak menceritakan mengenai penjajahan Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak yang mana sultan-sultan terdahulu ditipu dengan mudahnya oleh penjajah British. Manakala, tidak banyak penekanan diberikan kepada sejarah kegemilangan bangsa yang wujud sejak dari zaman kerajaan-kerajaan Langkasuka dan Srivijaya yang telah berdiri sejak kurun ke-3 Masihi.
Rakyat Thai berbangga dengan sejarah mereka yang dikatakan tidak pernah dijajah mana-mana negara sekalipun mereka pernah dijajah oleh Burma pada tahun 1767 dan menjadi negara boneka Jepun sewaktu perang dunia kedua pada tahun 1945. Jepun pula tidak memfokuskan kekalahan mereka sewaktu Perang Dunia Kedua pada tahun 1945 tetapi sebaliknya menceritakan kehebatan bangsa Jepun di mata dunia. Walaupun Korea senasib dengan bangsa Melayu di mana tanah tumpah mereka dijajah dan dijarah Jepun, mereka bangkit dan membangunkan semula Gerbang Gwanghwamun (simbol kebanggaan negara) yang dimusnahkan pada tahun 1592 sewaktu pencerobohan Jepun.
Sebaliknya, di negara kita, lambang-lambang penjajahan inilah yang dibanggakan dan warisan binaan kerajaan-kerajaan Melayu lama diketepikan seperti Terusan Wan Mat Saman di Kedah, Istana Bandar di Jugra, Selangor, Kota Lukut di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Kota Kuala Muda di Kedah yang hanya tinggal sekadar gerbang. Terusan Wan Mat Saman di Kedah adalah terusan terpanjang di Malaysia sejauh 36km, simbol kemajuan teknologi kejuruteraan Melayu kini terbiar bagaikan tidak beerti – sejarah bangsa yang tidak diendahkan kebanyakan rakyat Malaysia.
Bagaimanakah rakyat Malaysia terutama daripada generasi muda boleh dipupuk untuk berjati diri tinggi kalau mereka sendiri tidak didedahkan dengan kehebatan bangsa mereka di zaman silam?
PENGUATKUASAAN
Selain daripada itu, penguatkuasaan undang-undang adalah amat perlu bagi membanteras perkara-perkara ini daripada terjadi. Kebanyakan daripada pelaku-pelaku insiden yang disebutkan di atas tidak diberikan tindakan sewajarnya dan seringkali dibiarkan bebas. Lambang-lambang negara ini harus dihormati dan tidak seharusnya dihina sedemikian rupa.
Kes terbaru yang melibatkan seorang doktor pelatih, Dr. Mohd Faiz, yang memuat naik status Facebooknya yang dikatakan menghina YDPA, tidak patut dipandang enteng. Menurut Perlembagaan Malaysia, selain daripada menjadi ketua negara, tugas YDPA adalah sebagai Ketua Agama Islam di negara ini. Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, YDPA Malaysia yang baharu menggantikan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah tidak sewajarnya dikritik semata-mata menjalankan tugasnya dengan menunjukkan teladan yang baik bagi seorang yang beragama Islam kepada rakyatnya.
Bagi membendung kejadian seperti ini berlaku di masa hadapan, Dr. Mohd Faiz, atau sesiapa sahaja yang melakukan perkara sebegini sepatutnya berdepan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi mengingatkan masyarakat agar menyuarakan pandangan-pandangan mereka secara berhemah serta menghormati keutuhan Rukun Negara.
KESIMPULAN
Sedar atau tidak, kejadian-kejadian penghinaan sebegini menunjukkan tidak semua rakyat Malaysia menghormati lambang-lambang negara yang sepatutnya disanjung tinggi. Mungkin atas sebab kebencian atau ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran yang ada sekarang, sesetengah rakyat Malaysia bertindak untuk mengkritik secara kurang berhemah tanpa mengambil kira akibat daripada perbuatan mereka ini.
Terdapat juga sebilangan rakyat Malaysia yang menetap di seberang laut terbawa-bawa oleh kebencian ini lalu memburukkan negara di luar negara. Ini adalah suatu tindakan yang tidak wajar dan tidak bertanggungjawab. Sekalipun tidak berpuas hati terhadap pentadbiran yang sedia ada, janganlah sampai memburukkan negara. Kerajaan boleh diganti menerusi peti undi sewaktu pilihanraya.
Jalur Gemilang, Bahasa Malaysia, Negaraku dan Institusi YDPA wajib dihormati oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, keturunan, bangsa dan agama. Insiden yang melibatkan penghinaan institusi YDPA oleh Dr. Mohd Faiz adalah manifestasi rendahnya jati diri sesetengah rakyat di negara ini. Tidak semua perkara patut dipolitikkan dan rakyat Malaysia seharusnya tanya pada diri sendiri apakah yang mereka telah lakukan untuk negara, dan bukannya apa yang negara telah lakukan untuk mereka.
Kita pernah ada sejarah yang gemilang. Marilah kita kembalikan kegemilangan tersebut menerusi negara kita, Malaysia.
** Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.
** Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.