Sesuatu bentuk tahaluf atau kerjasama dengan mana-mana pihak perlu dipertahankan demi kebaikan Islam dan jemaah bukan untuk kepentingan individu, kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.

Dr Haron berkata jika ada syarat-syarat yang membolehkan tahaluf itu telah dilanggar maka ulamak perlu memperbaikinya.

Katanya, jika setelah diperbaiki masih ada masalah yang dihadapi maka tahaluf itu perlu diputuskan.

"Tahaluf berlaku dengan nasihat ulamak disebabkan ada syarat dan rukun-rukun yang perlu dipatuhi.

"Pertahanlah tahaluf ini demi kebaikan Islam dan jemaah bukan untuk kepentingan individu.

"Jika ada syarat yang dilanggar, ulamak bertanggungjawab untuk memperbaikinya.

"Jika sudah diperbaiki tetapi masih ada masalah maka ia boleh diputuskan seperti mana sesebuah perkahwinan yang tidak boleh diselamatkan lagi," katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS di IOI Palm Villa Golf & Country Resort, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya juga Dr Haron mengingatkan ahli-ahli PAS agar terus taat kepada pemimpin mereka kerana masalah yang berlaku dalam parti itu mutakhir ini akibat tidak ada ketaatan kepada pemimpin.

Katanya, perkara mentaati pemimpin itu dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis.

"Taatlah pada ketua kamu meskipun ketua kami dipilih daripada hamba abadi, walaupun kerinting rambutnya dan kusut masai.

"Ini hadis Muslim yang menegaskan bahawa wajib keatas seorang muslim dengar dan taat ketuanya.

"Selagi tidak disuruh melakukan maksiat, tidak disuruh engkar pada perintah Allah, kita kena taat.

"Kalau disuruh buat maksiat barulah tak payah dengar dan taat," katanya lagi.

Dr Haron turut mengingatkan ahli dan pemimpin PAS bahawa dalam politik banyak berlaku fitnah hingga boleh menyebabkan berlakunya krisis dalaman.

Katanya dalam kemelut dalaman yang dihadapi itu terdapat juga krisis yang sengaja ditimbulkan.

"Kita perlu pastikan kalau ada masalah, kalau ada krisis janganlah sampai diketahui oleh orang ramai.

"Sekarang bukan kita saja yang tahu, penjual kacang putih, penjual cendol pun tahu PAS ada masalah dalaman," katanya.