KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Al Hadid bertekad untuk terus menyediakan pusat jagaan secara percuma kepada golongan orang kurang upaya (OKU) daripada keluarga kurang berkemampuan (asnaf) bagi memastikan golongan itu tidak terpinggir.
Pengerusinya, Halmi Seali berkata niat untuk mewujudkan pusat jagaan tanpa bayaran itu timbul selepas beliau melakukan tinjauan peribadi dan mendapati kebanyakan pusat jagaan OKU di negara ini mengenakan caj tertentu bagi tujuan operasi.
"Susunan Allah itu indah. Sebelum membuka rumah kebajikan ini, saya buat tinjauan sendiri dengan menghubungi beberapa rumah kebajikan. Saya tanya jika ada anak OKU (untuk dimasukkan), jawapan yang diterima ialah jika anak yatim ia adalah percuma, namun bagi OKU ia berbayar.
"Dari situ saya berfikir, kenapa tidak saya tawarkan ia secara percuma sahaja? Saya mahu cipta kelainan kerana saya dapati rumah kebajikan biasa seperti warga emas dan anak yatim banyak yang percuma, tetapi tidak bagi OKU," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Beliau menegaskan bahawa pusat jagaan itu dikhaskan sepenuhnya untuk keluarga yang benar-benar memerlukan, manakala permohonan daripada keluarga yang berkemampuan tidak akan diterima.
Mengulas lanjut, Halmi memasang impian untuk membuka lebih banyak cawangan rumah kebajikan seumpama itu pada masa hadapan bagi menampung permintaan yang tinggi daripada golongan sasar.
Bagaimanapun, beliau mengakui berdepan cabaran dari sudut kos operasi memandangkan pihaknya kini menanggung kos sewa premis sebanyak RM4,000 sebulan, selain bil utiliti dan internet yang merupakan kos tetap.
"Setakat ini, kami belum mendapat bantuan daripada pihak kerajaan. Saya amat mengharapkan sumbangan dan sokongan daripada semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat Malaysia yang bermurah hati untuk membantu kelangsungan rumah ini," katanya.
Menurut Halmi, pusat jagaan itu kini dibantu oleh empat kakitangan yang bertugas 24 jam selain penglibatan ahli keluarganya sendiri yang bertindak sebagai tulang belakang operasi.
"Rezeki Allah bagi, kita terima sahaja. Bagi saya, tetamu itu adalah rezeki. Isteri saya sentiasa menyokong dari belakang manakala anak-anak turut membantu menguruskan pusat ini," tambah beliau.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Negara, Senator Tuan Isaiah D. Jacob yang turut hadir di perasmian rumah kebajikan baharu itu berkata masyarakat perlu mengubah persepsi terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada sekadar penerima kebajikan kepada kumpulan yang mampu memberi sumbangan signifikan kepada sosioekonomi negara.
Beliau berkata, golongan tersebut mempunyai potensi dan bakat yang besar, namun sering kali terhalang disebabkan kurangnya latihan dan ruang untuk mereka menonjolkan kebolehan tersebut.
"Golongan OKU bukan sekadar kumpulan yang memerlukan bantuan kebajikan (charity), tetapi mereka mempunyai tanggungjawab dan peranan dalam ekonomi negara. Kepimpinan negara dan kerajaan perlu mengubah minda bahawa mereka juga boleh menyumbang kepada kemajuan negara," katanya.
Mengulas mengenai perancangan masa hadapan bagi memperkasakan golongan tersebut, Isaiah berkata beliau akan melaksanakan program lawatan ke pusat-pusat penjagaan untuk mengenal pasti bakat dan kebolehan individu OKU secara lebih spesifik.
Jelasnya, individu yang dikenal pasti akan diserapkan ke dalam akademi latihan bagi mengasah kemahiran mereka dalam bidang yang diminati sebagai persediaan masa depan.
"Kita akan lihat kebolehan mereka. Sebagai contoh, jika ada yang berbakat dalam bidang nyanyian, kita akan 'polish' (asah) bakat tersebut dan menyediakan pentas untuk mereka.
"Bagi mereka yang mempunyai minat dan kemahiran dalam sektor pertanian pula, kita akan mencari ruang dan peluang untuk membolehkan mereka menjadi petani yang berjaya. Inilah usaha yang sedang kita gerakkan," tambahnya.