KUALA LUMPUR: Presiden Singapura Halimah Yacob berkata, beliau menyokong saranan untuk mengadakan pertukaran yang lebih besar antara pergerakan Pandu Puteri negaranya dengan Malaysia kerana pertukaran itu memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat kedua-dua negara.

Beliau berkata, saranan itu dibuat oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semasa lawatan baginda ke Pandu Puteri Singapura Oktober tahun lepas.

"Apabila teknologi semakin mengecilkan dunia kita, rangkaian rakan dan mentor transnasional akan menjadi sumber yang hebat.

"Justeru, saya amat bersetuju dengan Seri Paduka Baginda apabila baginda menyarankan pertukaran yang lebih besar. Pertukaran itu boleh memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat yang telah lama terjalin dan hubungan dua hala kedua-dua negara yang lebih cemerlang," katanya.

Presiden Singapura itu berkata demikian dalam ucapannya semasa lawatan ke Wisma Pandu Puteri, Jalan Pantai Baharu, di sini.

Halimah yang dalam rangka lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia juga berkata, beliau gembira melihat kemajuan hubungan pergerakan Pandu Puteri kedua-dua negara yang semakin berkembang.

"Pada tahun lepas, Kem Antarabangsa Pandu Puteri yang diadakan di Singapura meraikan kedatangan kumpulan itu daripada pelbagai peringkat umur dan negara termasuk rakan-rakan kami dari Malaysia.

"Selain membangunkan empati dan kepimpinan, platform sedemikian juga membantu wanita muda kita untuk membangunkan pemahaman silang budaya dan perspektif global," katanya.

Sebagai Penaung Pandu Puteri Singapura, Halimah berkata, pergerakan Pandu Puteri amat dekat di hatinya kerana menerusi pelbagai program dan projek, ia bukan hanya mendedahkan wanita muda dengan rasa keakraban, tetapi juga memberi inspirasi kepada mereka untuk aktif dalam masyarakat dan berusaha untuk membuat perubahan positif.

Presiden itu juga berkata beliau kagum apabila mengetahui tentang aktiviti kreatif yang kerap dianjurkan Persatuan Pandu Puteri Malaysia untuk ahli-ahlinya bagi semua peringkat umur.

Beliau juga menggalakkan kumpulan itu meneroka pengalaman baharu dan merebut setiap peluang untuk meluaskan ufuk mereka.

Sementara itu, dalam titah baginda, Tunku Azizah mengimbau kembali prestasi baginda dalam menyumbang kepada Persatuan Pandu Puteri Malaysia dengan berkhidmat kepada empat isteri Perdana Menteri ketika menjadi Timbalan Presiden persatuan itu.

Empat Perdana Menteri itu adalah isteri Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali), isteri Tun Abdullah Ahmad Badawi (Allahyarham Tun Endon Mahmood) serta isteri sekarang, Tun Jeanne Abdullah dan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak (Datin Seri Rosmah Mansor).

"Ketika itu beta sering ke luar negara mempengerusikan mesyuarat manakala isteri perdana menteri sibuk mengiringi suami mereka bertugas.

"Tetapi kini sebagai Permaisuri Agong dan Penaung Diraja, beta juga mendapat empat isteri perdana menteri sebagai Presiden iaitu Tun Siti Hasmah, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (isteri Tan Sri Muhyiddin Yassin), Datin Seri Muhaini Zainal Abidin (isteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (isteri Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim)," titah baginda.
- BERNAMA