Skip to main content

Malaysia

Pertukaran risikan peringkat ASEAN dicadangkan untuk banteras penipuan - Forum

KUALA LUMPUR, Sept 9 - Group Chief Business and Technology Officer of Axiata Group Berhad, Thomas Hundt gestures while sharing his views at a forum on "Building ASEAN Coordinated Response to Scams and Fraud " during the M360 GSMA ASEAN event today. - fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Ketua Pegawai Perniagaan dan Teknologi Kumpulan Axiata Group Bhd Thomas Hundt berkata setiap organisasi memiliki maklumat dan isyarat rangkaian berbeza, namun perkara ini perlu digabungkan bagi mengesan dan menyekat aktiviti penipuan dengan lebih berkesan. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: ASEAN perlu mewujudkan mekanisme pertukaran risikan antipenipuan pada peringkat serantau bagi membolehkan pengawal selia, bank, pengendali telekomunikasi, agensi penguatkuasaan dan platform digital berkongsi maklumat dengan pantas.

Ketua Pegawai Perniagaan dan Teknologi Kumpulan Axiata Group Bhd Thomas Hundt berkata setiap organisasi memiliki maklumat dan isyarat rangkaian berbeza, namun perkara ini perlu digabungkan bagi mengesan dan menyekat aktiviti penipuan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata cadangan pertukaran risikan itu seharusnya melibatkan pihak bank, pengendali, pengawal selia, agensi penguatkuasaan undang-undang, penyedia teknologi dan operator platform.

“Penipu sentiasa selangkah di hadapan kita, jujur saya katakan, kita perlu menggabungkan risikan untuk memerangi mereka. Kerjasama satu kemestian, pertukaran maklumat dan data juga penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi panel Digital Trust Summit bertajuk “Strengthening Digital Trust-Policy and Governance Responses to Scams and Fraud” yang diadakan bersempena dengan M360 ASEAN 2026 di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) untuk Malaysia dan Indonesia Erik van der Veen berkata pusat respons antipenipuan nasional menjadi asas penting dalam menyelaras tindak balas kerajaan dan industri.

Beliau berkata beberapa buah negara ASEAN telah menubuhkan pusat sedemikian, yang dapat menjadi saluran untuk berkongsi amalan berkesan dan pengajaran daripada bidang kuasa berbeza.

“Secara idealnya, kita akan mempunyai pusat seperti ini di seluruh rantau,” kata Van der Veen yang juga pegawai perhubungan UNODC dengan ASEAN.

Pengarah Global bagi Pemesejan dan Perkongsian API di META Pushpendra Singh pula berkata penggunaan antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) rangkaian yang diseragamkan secara lebih meluas akan membolehkan platform menerima isyarat berkaitan penipuan yang lebih kukuh daripada pengendali telekomunikasi.

Beliau berkata rantau ini juga memerlukan pengaturan kerjasama yang lebih mudah serta satu kerangka yang membolehkan maklumat diambil tindakan dengan pantas, sambil memenuhi keperluan undang-undang dan privasi.

“Jika kita menunggu penyelesaian yang sempurna, perkara itu tidak akan terjadi kerana pada masa itu, berbilion-bilion, malah trilion ringgit akan hilang akibat penipuan dan fraud,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kerajaan dan Dasar Advokasi Ericsson bagi Asia Tenggara Jonathan Turley turut menyarankan agar penggunaan 5G diperluas serta keperluan keselamatan rantaian bekalan teknologi maklumat dan komunikasi diperkukuh.

M360 ASEAN 2026, anjuran GSMA di Kuala Lumpur pada 9 dan 10 Sept, menghimpunkan menteri, pengawal selia dan pemimpin industri untuk membincangkan kepercayaan digital, kecerdasan buatan, infrastruktur berdaya tahan dan integrasi digital serantau.

Acara itu yang diadakan buat julung-julung kali di rantau ASEAN dan Malaysia, mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai rakan kongsi tuan rumah.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement