KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi negara tidak boleh hanya bergantung kepada pelaburan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pertumbuhan pendapatan dan gaji yang setimpal.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pertumbuhan seiring sedemikian dapat memastikan rakyat mempunyai keupayaan berbelanja dan seterusnya mengukuhkan ekonomi domestik.
“Bila sebut soal pertumbuhan ekonomi, bagi saya elemen gaji pekerja itu penting untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi kerana perbelanjaan dalam kalangan rakyat itu juga cerminan kepada kekuatan, keutuhan pertumbuhan ekonomi yang ada.
“Sekiranya pertumbuhan itu berlaku, tetapi dari segi pertumbuhan gaji itu tidak berlaku seiring, maka ada beban dari segi masalah struktur yang perlu kita teliti dengan lebih mendalam,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Isnin.
Laporan itu menunjukkan penengah gaji dan upah bulanan warganegara meningkat 5.3 peratus kepada RM2,940 pada 2025, manakala purata gaji dan upah meningkat 4.1 peratus kepada RM3,803.
Bagi menangani isu struktur gaji, Akmal Nasrullah berkata tumpuan kerajaan bukan sekadar menaikkan lantai gaji melalui gaji minimum, tetapi memastikan pekerja di bahagian pertengahan turut menikmati perkembangan gaji yang progresif
“Yang lebih penting adalah untuk melihat bagaimana untuk kita menggerakkan tangga gaji kalangan rakyat ini supaya tidak wujud masalah gaji menengah yang terus tertekan (wage progression).
“Dalam keadaan kita menggerakkan (menaikkan) gaji minimum, pergerakan gaji yang lain itu tidak bergerak seiring dengan apa yang ditetapkan di tangga paling bawah,” ujarnya.
Antara intervensi kerajaan ialah Dasar Gaji Progresif (DGP) yang menawarkan insentif kepada majikan untuk menaikkan gaji pekerja selari dengan peningkatan kemahiran dan produktiviti.
Kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi pelaksanaan DGP untuk tempoh 2025 hingga 2027 dengan sasaran awal 50,000 pekerja. Sehingga akhir 2025, seramai 51,363 pekerja telah menerima kenaikan gaji melalui penyertaan 4,025 majikan, sekali gus melepasi sasaran awal program itu.
Akmal Nasrullah berkata keberkesanan pelaksanaan dasar itu bagaimanapun perlu terus dinilai bagi menentukan sejauh mana ia benar-benar mampu mengubah struktur gaji pekerja.
Selain intervensi langsung terhadap gaji, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan industri bernilai tinggi bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan nilai yang boleh ditawarkan pekerja kepada pasaran.
“Tetapi sekiranya perkara ini tidak diatasi dengan baik, kita mungkin mengeluarkan bakat yang tidak ada peluang dan penempatan untuk mendapatkan gaji yang lebih setimpal; seterusnya boleh berlaku brain drain.
“Maka perlu ada langkah yang lebih berani. Kita perkasakan pekerja-pekerja, bukan sahaja melalui kesatuan sekerja, bahkan memahamkan proses ketelusan dalam penawaran gaji oleh majikan,” katanya lagi.
Pendekatan itu selari dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk meningkatkan bahagian Pampasan Pekerja (CE) kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada 40 peratus menjelang 2030.
Pada 2025, bahagian pampasan pekerja berada pada 33.9 peratus daripada KDNK, meningkat sedikit daripada 33.6 peratus pada tahun sebelumnya.
Menurut Akmal Nasrullah, usaha meningkatkan gaji pada akhirnya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan negara, bukan hanya soal pendapatan pekerja.
Ia kerana pendapatan yang lebih tinggi bukan sahaja memberi pulangan lebih setimpal kepada pekerja, tetapi turut meningkatkan kuasa berbelanja rakyat yang kemudiannya kembali menyokong aktiviti ekonomi domestik.
#AgendaAWANI: Membina struktur gaji yang progresif & kerjaya lebih bernilai | 22 Sep 26