PETALING JAYA: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini menyeru lebih banyak kerjasama pihak selain kerajaan, khususnya penyedia perkhidmatan insurans, syarikat farmaseutikal, serta hospital swasta untuk perkhidmatan perubatan jitu.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, perubatan jitu (precision medicine) sebagai kaedah efektif untuk mengesan kanser pada peringkat awal, merupakan perkhidmatan dengan kos yang tinggi, sekali gus menyukarkan orang ramai untuk mendapat rawatan kanser lebih awal.

Jelasnya lagi, keputusan diagnosis yang lewat menyebabkan kanser menjadi semakin kompleks, dan sukar dirawat dengan pilihan rawatan sedia ada, bermaksud lebih ramai pesakit tidak dapat bertahan.

“Pengawalan kanser dalam negara memerlukan tindak balas segera, dan kesemua pihak terlibat perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengurangkan tahap keseriusan penyakit itu.

“Ia hanya boleh dilakukan dengan pengesanan awal, pencegahan, dan yang paling penting ialah rawatan dan penjagaan yang betul.

“Dan ia bukan sesuatu yang rahsia bahawa akses yang berkemampuan terhadap penjagaan, apatah penjagaan dan rawatan berbentuk peribadi, merupakan sesuatu pergelutan di peringkat global,” katanya lagi.

Khairy berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Perjanjian Kerjasama Perubatan Jitu antara Prudential Malaysia, AstraZeneca dan Pantai Premier Pathology di sini hari ini.

Menurut kenyataan media yang disertakan, kerjasama tiga pihak itu akan membuka jalan kepada pesakit kanser untuk mengakses ujian genomik, untuk mendapat diagnosis yang lebih tepat tentang kanser mereka berdasarkan profil genetik.

Melalui kerjasama yang julung-julung kali diadakan itu, beban kewangan pesakit kanser dapat dikurangkan, dan mereka akhirnya dapat melihat ke hadapan untuk rawatan yang lebih berkesan.

Wakil-wakil yang menandatangani perjanjian itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN BSN Takaful Berhad, Wan Saifulrizal Wan Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Prudential Assurance Malaysia Bhd, Lim Eng Seong; Presiden AstraZeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal; dan Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Premier Pathology, Hareeff Muhammed.

Wakil-wakil yang menandatangani perjanjian itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN BSN Takaful Berhad, Wan Saifulrizal Wan Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Prudential Assurance Malaysia Bhd, Lim Eng Seong; Presiden AstraZeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal; dan Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Premier Pathology, Hareeff Muhammed.

Kaedah perubatan jitu melihat kepada gen pesakit, tingkah laku, serta persekitaran untuk menentukan risiko penyakit unik, serta menentukan rawatan yang terbaik untuk pesakit berkenaan.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, 49,000 individu di Malaysia dijangka didiagnos dengan kanser pada 2020, dan jumlah dijangka meningkat sehingga melebih 60,000 individu setahun menjelang 2030.

“Pada 2020, kami telah mendedahkan hasil dapatan daripada Laporan Pendaftaran Kanser Nasional 2012 – 2016, yang menunjukkan pesakit kanser paru-paru dan hati dengan kadar survival relatif lima tahun masing-masing, hanya 11 dan 12.8 peratus.

“Kebanyakan daripada mereka hanya dikesan di tiga dan empat. Peratusan kes yang dikesan pada tahap tiga dan empat meningkat dari 58.7 peratus kepada 63.7 peratus antara 2012 hingga 2016,” katanya lagi.

Khairy berkata, perubatan jitu dalam penjagaan kanser merupakan model kesihatan yang menggalakkan perubatan mengikut keperluan individu.

Walaupun ia sudah sedia ada, Khairy berkata, perubatan jitu merupakan satu kemewahan yang tidak dapat dinikmati oleh semua pihak, sehingga ke hari ini.

“Persefahaman luar biasa antara pemain-pemain industri kesihatan ini bertujuan untuk membawa penjagaan kesihatan yang lebih peribadi kepada anda, menjadikan ia lebih mudah diakses untuk semua pihak,” katanya lagi.