KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi menganggarkan Perbelanjaan Pembangunan Sementara yang diperuntukkan kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) adalah sebanyak RM20.77 juta, kata Menterinya, Rafizi Ramli.

Beliau menjelaskan jumlah tersebut hanya melibatkan kategori projek sambungan bagi kerja-kerja infrastruktur dan pembinaan kilang perindustrian, dan bagi keseluruhan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2023 akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Feb.

Rafizi menjelaskan lagi bahawa sepanjang tempoh 2018-2022, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM885.12 juta kepada PKEN, yang mana jumlah itu telah menunjukkan trend peningkatan setiap tahun.

"Sebahagian besar peruntukan ini disalurkan untuk projek-projek pembangunan terutamanya pembangunan infrastruktur, pembangunan hartanah dan industri kepada negeri yang terlibat," kata beliau menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam.

Beliau menjawab soalan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) mengenai dasar dan pendekatan kerajaan untuk terus memperkasakan PKEN bagi memacu pertumbuhan ekonomi setiap negeri serta perincian projek/program yang telah dilaksanakan/dirancang berserta kos bagi setiap negeri sejak 2018 hingga 2023.

-- BERNAMA