LINGGI: Kerajaan MADANI mengembalikan semula peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) bermula 2023 selepas bantuan berkenaan dihentikan sejak 2003.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat atas keyakinan bahawa pendidikan Islam perlu terus diperkasa melalui tindakan dan dasar yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
Menurut Anwar, peruntukan kepada SAR tidak diteruskan selama hampir dua dekad meskipun berlaku beberapa pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri sepanjang tempoh tersebut.
“Saya umumkan pada 2022 untuk dikaji dan pada 2023 kita kembalikan semua peruntukan sekolah agama rakyat yang dahulu dihentikan," katanya ketika berucap pada satu program di Linggi pada Khamis.
Beliau berkata selepas peruntukan dipulihkan, kerajaan mula memberi perhatian kepada keperluan pembangunan dan kemudahan sekolah agama rakyat yang menempatkan ratusan ribu pelajar di seluruh negara.
Anwar berkata banyak institusi pendidikan agama rakyat berdepan kekangan kemudahan dan memerlukan sokongan kerajaan bagi memastikan proses pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
Jelas beliau, kerajaan turut mengadakan sesi libat urus dengan tokoh pendidikan Islam dari seluruh negara bagi meneliti usaha memperkukuh sistem pendidikan agama tanpa menjejaskan pendekatan pengajaran sedia ada.
Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan mahu aspek penguasaan bahasa dan teknologi turut dipertingkatkan dalam kalangan pelajar institusi berkenaan bagi memastikan mereka mampu berdepan cabaran semasa.
Anwar menegaskan usaha memperkasakan sekolah agama rakyat membuktikan komitmen kerajaan dalam memartabatkan pendidikan Islam melalui pelaksanaan dasar dan bukannya sekadar retorik.