BUKIT MERTAJAM: Seorang pesakit kanser tahap empat  ditemui meninggal dunia dengan kesan renjat elektrik dalam kejadian di rumah dua tingkat di Taman Seri Arowana, Seberang Jaya pada Selasa.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, lelaki  berusia 59 tahun yang menghidap kanser usus ditemukan tidak sedarkan diri di atas sofa di bahagian ruang tamu rumah oleh isterinya yang baharu pulang dari tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata isteri mangsa kemudian menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

Shafee berkata, wanita berusia 57 tahun itu memaklumkan suaminya itu menderita akibat kanser usus dan mengalami tekanan perasaan yang sangat serius selepas sel kanser sudah mula merebak ke bahagian hati hingga merancang untuk membunuh diri.

"Semasa pemeriksaan, pasukan polis mendapati  mangsa telah memasang wayar elektrik pada jari hantu sebelah tangan kiri dan jari kaki kedua sebelah kiri.

"Akibatnya, mangsa terkena renjatan elektrik dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang turut berada di rumah terbabit," katanya.

Shafee berkata, isteri mangsa terkejut apabila terlihat benang diikat ke tombol pintu utama sebaik pulang ke rumahnya.

Dia kemudian masuk ke dalam rumah sebelum ternampak suaminya berada dalam keadaan terlentang berpakaian seluar pendek dan berkemeja T di atas sofa di bahagian ruang tamu dimana suaminya sudah tidak sedarkan diri.

Shafee berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

"Laporan bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam insiden ini dan punca kematian mangsa adalah akibat direnjat elektrik dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Befrienders