Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu para pesara Kementerian Pendidikan terus menyumbang kepakaran dan pengalaman masing-masing melalui saluran bersesuaian, antaranya melalui badan bukan kerajaan (NGO) dalam negara bagi membantu kerajaan membangunkan negara.

Timbalan Perdana Menteri menarik perhatian pendidikan adalah satu bidang yang amat dipandang tinggi masyarakat, justeru pandangan dan saranan daripada golongan itu, apatah lagi pesara yang telah lama berkhidmat amat dialu-alukan.

"Apa lagi antara kita ini, ada lagi yang masih segar, pada usia 60 tahun, anda masih muda, saya sudah berumur 67 tahun dan masih sihat dan cergas.

"Sebab itu pengalaman yang kita ada ini sangat berharga dalam konteks memberikan pandangan, nasihat dan tunjuk ajar yang mana hanya boleh diberikan mereka yang sudah lama dan mempunyai pengalaman," katanya pada Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut menyarankan para pesara berkenaan menawarkan diri sebagai sukarelawan di bawah jawatankuasa berkaitan dan majlis penasihat di bawah kementerian.

"Kalau mereka ada minat ... kita harap mereka akan terus berhubung dengan kita sebagai sukarela dan sudah tentunya kita akan menyambut baik usaha mereka ini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri menarik perhatian bahawa persaraan daripada perkhidmatan awam bukan bermakna segala-galanya telah berakhir, tetapi ia merupakan peluang dan langkah permulaan ke suatu alam baharu kehidupan.

Muhyiddin berkata sepanjang tempoh perkhidmatan mereka, pelbagai usaha penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti telah dilaksanakan, termasuk inisiatif-inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara.

"Kerajaan juga telah berjaya melaksanakan penambahbaikan laluan kerjaya pegawai kementerian secara komprehensif daripada gred lantikan hingga ke gred tertinggi dengan peluang peningkatan dalam tempoh lebih wajar," katanya.

Tambah beliau, sumbangan mereka selama ini tentunya akan membantu kementerian mencapai matlamat membangunkan pemimpin generasi baharu berpotensi dan berprestasi tinggi menjelang tahun 2020.

Majlis itu yang diadakan bagi meraikan 22 bekas pegawai tinggi Kementerian yang bersara sepanjang tahun 2014, turut dihadiri Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, dua Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap dan P.Kamalanathan serta Ketua Setiausaha II kementerian Datuk Seri Ir Zaini Ujang.

Antara mereka yang diraikan termasuk bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Bahagian Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datuk Misrah Ibrahim, bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Bahagian Operasi Pendidikan) Datuk Sufa'at Tumin dan beberapa bekas Pengarah Jabatan Pendidikan negeri.

Majlis turut bertafakur sejenak dan menghadiah bacaan Al-Fatihah kepada bekas Setiausaha Bahagian Biasiswa Mohd Zamani Harun yang meninggal dunia pada 4 Dis lepas dan bekas Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan Zahari Daud yang meninggal dunia pada September lepas.