SUBANG JAYA: Jenazah Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud selamat diterbangkan dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Jenazah bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak itu dibawa menggunakan pesawat TUDM C-130 Hercules pada jam 1.58 petang.

Sebelum itu, van yang membawa jenazah Allahyarham tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 1.05 tengah hari selepas upacara penghormatan peringkat Semenanjung selesai disempurnakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Sebaik tiba, jenazah Allahyarham sekali lagi diberikan penghormatan terakhir oleh tetamu kehormat dan pemimpin negara.

Berkenan berangkat tiba memberikan penghormatan terakhir ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof; Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta beberapa Menteri Kabinet.

Jenazah kemudian diusung sembilan anggota daripada Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sekitar jam 4.30 petang ini dan akan terus dibawa ke rumah Allahyarham di Demak Jaya.

Penghormatan terakhir buat tokoh berusia 87 tahun itu akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak esok bermula jam 8 hingga 11.30 pagi.

Jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.

Allahyarham Abdul Taib menghembuskan nafas terakhir di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) pada usia 87 tahun sekitar jam 4.40 pagi tadi.