KLANG: Cuaca mendung menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini pagi ini, seakan-akan turut bersedih dengan pemergian mangsa nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

Lebih pilu, ahli keluarga yang hadir seawal pukul 8 pagi dilihat tidak dapat menahan air mata menyaksikan van membawa keluar satu persatu jenazah mangsa.

Jenazah mangsa pertama diusung keluar dari bilik mayat menaiki van pada pukul 9.27 pagi dan yang terakhir pada 11.35 pagi.

Kesemua sembilan mangsa kemudiannya dibawa ke Masjid Jamek Ar-Rahimiah dekat sini untuk proses pengurusan jenazah sebelum dikebumikan di kampung halaman masing-masing.

Susulan itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan, kesemua 10 jenazah mangsa yang terlibat nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada Khamis, selesai dituntut ahli keluarga.

[LAPOR LANGSUNG] Nahas Elmina: Semua 10 jenazah selesai dituntut ahli keluarga

Pagi semalam, jenazah mangsa pertama telah dituntut oleh waris, iaitu penunggang p-hailing Muhamad Hafiz Muhamad Saleh.

Allahyarham dikafan dan disembahyangkan di masjid sama sebelum dibawa ke kampung halaman di Sungai Petani, Kedah.

Nahas pesawat pada Khamis lalu mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini memaklumkan, kerajaan negeri akan menganggung kesemua kos penghantaran jenazah ke kampung halaman masing-masing.