JOHOR BAHRU: Menantu lelaki kepada Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim adalah antara mangsa tragedi nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor semalam.

Perkara itu disahkan Johor Corporation (JCorp) dalam perkongsian menerusi Facebook rasmi syarikat itu, namun tidak menyatakan nama mangsa.

"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Allahyarham serta seluruh mangsa dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

"Kami juga ingin memohon semua pihak untuk menghormati privasi keluarga dalam menghadapi ujian yang sukar ini," menurut hantaran itu.

Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengakibatkan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun maut.


Lapan yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di situ semasa kejadian.

[LAPOR LANGSUNG] Pesawat terhempas di Elmina, 10 terkorban

Ketika insiden berlaku, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan selain Johari, turut berada dalam senarai penumpang ialah dua juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim, serta lima penumpang lain iaitu Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani menerusi hantaran dalam Facebook turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa nahas berkenaan.

-- BERNAMA