KLANG: Urusan bedah siasat terhadap semua mayat mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam Khamis lepas, telah selesai malam tadi dan menunggu hasil padanan asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata sebanyak 300 sampel cebisan mayat telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan padanan DNA dan 30 peratus berjaya diselesaikan.

Beliau berkata seramai 30 pegawai patologi dan forensik terlibat dalam bedah siasat berkenaan.

"Semalam, kita telah mendapat satu padanan DNA yang positif milik penunggang p-hailing Muhamad Hafiz Muhamad Saleh dan jenazah diserahkan kepada warisnya pagi ini.

"Pihak Jabatan Kimia sedang berusaha keras untuk melengkapkan semua padanan DNA dan kita positif semua urusan akan selesai Isnin ini," katanya dalam sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini hari ini.

Hussein menjangkakan satu lagi jenazah akan dapat dikenal pasti hari ini dan boleh diserahkan kepada waris esok.

Beliau berkata selain padanan DNA, urusan pengecaman jenazah juga dibuat menggunakan rekod pergigian dan cap jari.

"Setakat ini, polis telah berjaya mengenal pasti lapan cap jari mangsa," katanya.

Sementara itu, Hussein berkata beliau berharap waris mangsa nahas berkenaan dapat menerima seadanya keadaan jenazah yang diserahkan kepada mereka kelak.

Beliau berkata terdapat cebisan-cebisan mayat yang telah terbakar dan tidak dapat diproses untuk mencari padanan DNA.

"Waris juga harus bersabar kerana proses padanan DNA adalah rumit dan sensitif, dan kita mahu semua cebisan mayat diserahkan kepada pemilik yang sebenarnya," katanya.

Tragedi yang berlaku pada 2.48 petang itu menyaksikan sebuah pesawat peribadi terhempas dan mengorbankan kesemua dua kru dan enam penumpang selain meragut nyawa dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing.

-- BERNAMA