KAPAR: Pihak polis mengesahkan nahas udara yang berlaku di Kampung Tok Muda, Kapar pada Selasa, telah mengorbankan dua nyawa.

Ketua Polis Negeri Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua mangsa tersebut berusia antara 30 hingga 40 tahun, dan sedang menjalani latihan penerbangan rekreasi.

Ketika ini beliau berkata, kedua-dua mangsa berada dalam kokpit pesawat yang terbenam kira-kira dua meter.

“Ketika ini pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan kedua-dua mangsa, yang kita percaya telah terkorban.

“Kedua-dua mangsa (kemudian) akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk proses bedah siasat, dan pengecaman sebelum diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya kepada media.

[
TERKINI] Sidang media Ketua Polis Selangor
 
Hussein berkata setakat ini siasatan akan menentukan sama ada tubuh badan mangsa berada dalam keadaan yang sempurna, tetapi beliau mengesahkan keadaan kokpit pesawat yang terbenam masih dalam keadaan baik.

Sebelum ini Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan seramai dua penumpang termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat ringan yang terhempas di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar, Kampung Tok Muda, dekat sini pada Selasa.

Pesawat ringan model BK 160 Gabriel (nombor pendaftaran I-POOC), yang dikendalikan Air Adventure Flying Club berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.

Dalam pada itu Hussein berkata, kawasan seluar 50 meter radius dari kawasan kejadian telah ditutup bagi memudahkan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) serta siasatan.
 
Tambahnya lagi, pihak berkuasa perlu berhati-hati menjalankan proses mengeluarkan mangsa, dan mereka menggunakan khidmat jentera pengkaut dari pihak kerajaan tempatan.

Perkembangan pesawat ringan terhempas di Kapar

Beliau berkata kerja-kerja tersebut dijangka akan selesai menjelang malam ini.

“Siasatan akan dilakukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dari Kementerian Pengangkutan, dan polis juga telah membuka kertas inkuiri.

“Kami dari pasukan PDRM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga, dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota pasukan dan agensi yang terlibat,” katanya lagi.