Seorang lagi wanita telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes pesta sukan bogel yang diadakan di Teluk Kampi, Teluk Bahang baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, wanita berusia 24 tahun dari Perak yang juga pekerja swasta di Kuala Lumpur dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya Sabtu lalu dan kemudiannya dibebaskan selepas disoal siasat selama dua jam.

“Setakat ini, dua yang ditahan polis adalah untuk bantu siasatan, bukan suspek.

“Sehingga kini, 18 percakapan saksi telah dirakam, termasuk seorang pemandu pelancong semalam. Sebelas laporan polis telah diterima daripada pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan penganjuran pesta sukan bogel itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Logistik Supt Mohd Taha Baba kepada Supt Rosli Hassan di IPD Kepala Batas hari ini.

Sebelum ini, polis telah menahan seorang guru muzik wanita dari Bayan Baru untuk membantu siasatan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Polis percaya semua tujuh rakyat tempatan yang dikenalpasti terlibat dalam pesta sukan bogel masih berada dalam negara dan meminta individu-individu yang terlibat dalam video berkenaan menyerah diri.

Abdul Rahim berkata, pihaknya telah meminta Bukit Aman untuk berhubung dengan Interpol bagi mengesan lapan rakyat asing iaitu dari Singapura, India, Myanmar dan Filipina yang dipercayai terlibat dalam pesta itu.

“Polis juga ada menerima maklumat seorang daripada peserta pesta iaitu dikenali sebagai Albert Yam yang memaklumkan untuk menyerah diri bagi membantu siasatan, tetapi sehingga hari ini dia belum tampil," katanya dipetik Bernama.

Beliau sekali lagi meminta kerjasama 15 peserta termasuk tujuh individu tempatan yang terlibat dalam pesta berkenaan agar tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes itu ASP Mohd Sani Mat Ali di talian 012-5424455 bagi membantu siasatan.

Pesta itu mula diperkatakan apabila video berdurasi lima minit 52 saat bertajuk “Pesta Bogel di Teluk Bahang, Penang” tersebar secara meluas di laman sosial, yang memaparkan sembilan lelaki dan enam wanita melukis badan dalam keadaan bogel, menari serta mengadakan acara sukan di Pantai Teluk Kampi dalam kawasan Taman Negara Pulau Pinang.

Jumaat lepas, polis mengedarkan 12 daripada 15 gambar individu yang dipercayai boleh membantu siasatan kes itu.