PEKAN: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menyasarkan sebanyak 10,520 peserta akan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 4.0 di enam kem di seluruh negara pada tahun depan.
Ketua Pengarah JKLN Mejar Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar berkata sasaran itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding 4,200 peserta yang disasarkan bagi empat siri latihan tahun ini.
“Bagi PLKN 4.0 nanti, beberapa kem tambahan dijangka mula beroperasi termasuk di Gemas, Negeri Sembilan; Sungai Durian di Kuala Krai, Kelantan; Bukit Pinang di Kedah; dan Bukit Keteri, Perlis. Pembukaan kem baharu ini bergantung pada kesiapan fasiliti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 2/2026 PLKN 3.0 di Kem Latihan Khidmat Negara 505 Askar Wataniah (AW), di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 1,369 pelatih PLKN 3.0 berjaya menamatkan latihan selama 45 hari di tiga kem yang diadakan serentak, hari ini.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 531 pelatih lelaki dari kem Pekan, 245 pelatih wanita dari kem Kuala Lumpur dan 593 pelatih lelaki dan wanita dari kem Malbatt Village, Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya.
Marzuki berkata hasil penilaian yang dijalankan dengan kerjasama beberapa institusi seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menunjukkan kira-kira 85 peratus peserta memberikan maklum balas positif terhadap program itu.
"Setakat ini, saya tidak menerima sebarang laporan negatif yang boleh menjejaskan imej program ini. Malah, ramai peserta hadir secara sukarela kerana melihat manfaat yang diperoleh menerusi latihan yang dijalankan," katanya.
Mengulas penyertaan belia luar bandar, Marzuki berkata JLKN akan mempergiat usaha promosi menerusi media sosial serta program jelajah dan pengedaran poster ke sekolah, balai raya, masjid dan pusat komuniti bagi memastikan lebih ramai golongan itu mengetahui peluang menyertai PLKN.
-- BERNAMA