IPOH: Program pesta panjut yang julung-julung kali dianjurkan di lokasi ikonik Padang Ipoh akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, program tersebut antara lain bertujuan menyemarakkan tradisi panjut di bandar raya ini kepada orang ramai, yang sebelum ini lebih sinonim di Kuala Kangsar.

Katanya, untuk permulaan tahun ini ia hanya dilaksanakan di peringkat sektor Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), namun beliau berkata ia akan diperluas kepada kategori orang ramai untuk tahun berikutnya.

"Tahun depan kita akan masukkan dalam kalendar pelancongan sempena Tahun Melawat Perak.

"Kita memilih Padang Ipoh kerana ia menjadi pusat di bandar raya ini. Ia juga merupakan sebahagian kawasan segi tiga pelancongan Ipoh.

"Secara tidak langsung program yang dijalankan di sini dapat menarik lebih ramai orang, khususnya untuk berbuka puasa di padang dan seterusnya bergambar dekat panjut yang dipamerkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pesta Panjut Antara Sektor MBI di Padang Ipoh, di sini, malam tadi.

Foto Astro AWANI

Bertemakan 'Kampungku Halamanku', beliau berkata lebih 2,000 pelita digunakan bagi pesta panjut tersebut, masing-masing membabitkan 500 pelita setiap sektor.

Antara sektor yang terlibat ialah Perkhidmatan, Pentadbiran dan Operasi, Kewangan dan Teknikal.

"Panjut di sini menggunakan minyak diesel, ia lebih mudah didapati berbanding minyak tanah. Kita akan pasang panjut ini selepas Maghrib sampai ia padam sendiri.

"Program ini bermula hari ini dan akan berlangsung sehingga 24 April, jadi orang ramai boleh datang beramai-ramai dan lihat sendiri keunikan panjut yang dipasang sempena ketibaan Syawal," katanya lagi.

Sementara itu, bagi salah seorang pengunjung, Hidayah Ismail, 24 tahun, beliau tidak melepaskan peluang untuk melihat secara dekat panjut yang dipamerkan.

"Kebetulan saya lalu di sini selepas berbuka puasa dengan rakan, tiba-tiba nampak panjut yang menarik di sini.

"Memang meriah bila buat program begini di Ipoh sebab kebiasaannya panjut sinonim di Kuala Kangsar, jadi memang teruja dan saya harap diteruskan untuk tahun seterusnya," katanya.

Foto Astro AWANI

Adha Hakim Osman, 27 tahun, pula berharap lebih ramai pihak yang akan mengambil bahagian dalam pesta tersebut pada tahun hadapan.

"Saya dapat tahu tentang program ini di media sosial, jadi saya ambil keputusan datang dengan keluarga dan rakan-rakan untuk berbuka puasa di sini.

"Memang menarik dan cantik, suasana pula jadi meriah dengan kehadiran orang ramai yang mahu ambil gambar kenangan, bukan selalu ada pesta panjut," katanya.