KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony membela diri atas pertuduhan memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (ME) di universiti itu pada 2014.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Peter, 50, di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 3 hingga 7 Jan 2022 untuk tertuduh membela diri.

Mengikut pertuduhan, Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada YAB Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Peter didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dia juga berdepan pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu pada tajuk surat itu, dan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan Peter membela diri atas pertuduhan memalsukan surat. 

Terdahulu, Azura berkata beliau membuat keputusan itu selepas mendengar, meneliti dan menimbang penilaian secara maksimum segala keterangan saksi-saksi pihak pendakwaan serta hujahan bertulis dan autoriti yang difailkan dan hujahan lisan tambahan semua pihak.

"Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kamu (Peter Anthony) bagi Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemalsuan dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS seperti yang dipertuduhkan. Oleh demikian kamu diperintah membela diri," kata hakim itu.

Peter memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Sebelum itu, Peter dimaklumkan oleh jurubahasa mahkamah bahawa beliau mempunyai tiga pilihan iaitu berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; memberi keterangan secara tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pendakwaan; atau memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk mengemukakan soalan semasa pemeriksaan balas.

Sementara itu, peguam Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin yang mewakili Peter memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil tujuh saksi pembelaan semasa prosiding membela diri termasuk saksi yang ditawarkan oleh pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata sekiranya pihak pembelaan ingin menggunakan pernyataan saksi semasa prosiding membela diri, ia perlu diserahkan seminggu sebelum perbicaraan bermula.

"Kami (pendakwaan) juga memohon sekiranya pihak pembelaan boleh membekalkan pernyataan pembelaan yang sehingga kini belum diserahkan, dapat diberikan seminggu sebelum perbicaraan," katanya.

Pada 21 Sept lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 15 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 5 April tahun ini.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi.

-- BERNAMA