Petinju Muay Thai maut tercampak 40 meter, dirempuh semasa joging

Keadaan trak pikap yang terbabas dan terbalik di bahu jalan selepas dipercayai hilang kawalan dan merempuh seorang petinju Muay Thai yang sedang berjoging di KM4, Jalan Gua Musang–Sungai Terah, Gua Musang, 21 Jan 2026. - Foto PDRM
GUA MUSANG: Seorang petinju Muay Thai maut selepas tercampak 40 meter akibat dirempuh sebuah trak pikap ketika sedang berjoging di Kilometer 4, Jalan Gua Musang–Sungai Terah di sini semalam.
Ringkasan AI
- Seorang petinju Muay Thai maut selepas tercampak 40 meter akibat dirempuh trak pikap ketika berjoging di Kilometer 4, Jalan Gua MusangSungai Terah.
- Mangsa, Mohamad Nabil Mohamad, 20 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian; pemandu trak pikap berusia 33 tahun dipercayai hilang kawalan.
- Pemandu dan penumpang trak pikap cedera; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu trak pikap berusia 33 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Sungai Terah menghala ke Gua Musang sebelum dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian.
“Akibat kejadian itu, kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan dan melanggar mangsa yang sedang berjoging bersama rakannya.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 40 meter manakala trak pikap terbabit terbabas dan terbalik di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala rakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.
Tambahnya, pemandu serta penumpang trak pikap berkenaan dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya.
Menurut Choon Foo, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-9121222 atau 019-9144855.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


