MALAYSIA
PETRONAS ‘Sepenuh Hati’ mengajak rakyat Malaysia hayati erti sebenar Rukun Negara

Kisah ringkas tetapi penuh makna ini mengajak penonton merenung kembali sejauh mana nilai Rukun Negara betul-betul diamalkan dalam masyarakat kita hari ini. - Gambar PETRONAS
KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, PETRONAS mempersembahkan kisah istimewa bertajuk ‘Sepenuh Hati’, sebuah filem pendek yang menyentuh hati dan mengangkat nilai perpaduan rakyat Malaysia.
Ringkasan AI
- PETRONAS lancar filem pendek Sepenuh Hati sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, mengetengahkan nilai perpaduan serta Rukun Negara.
- Kisahnya mengajak penonton memahami dan menghayati lima prinsip asas Rukun Negara dalam kehidupan seharian.
- Filem ini menekankan peranan generasi muda membentuk jati diri bangsa dan boleh ditonton di saluran YouTube rasmi PETRONAS.
Selari dengan tema kebangsaan tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, filem tersebut mengajak penonton menghayati serta menghargai lima prinsip asas Rukun Negara dalam kehidupan seharian.
Naib Presiden Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Ir. Norafizal Mat Saad, berkata filem ini mengupas persoalan tentang tahap pemahaman sebenar rakyat Malaysia terhadap ikrar yang sering dilafazkan saban minggu di sekolah, namun sering dilupakan dalam kesibukan kehidupan seharian.
“Filem ini mengikuti perjalanan Cikgu Murni, seorang guru baharu yang menyedari bahawa ada dalam kalangan pelajar yang melafazkan Rukun Negara dengan sikap sambil lewa sewaktu perhimpunan sekolah,” jelasnya.
“Kelas pertamanya membuka ruang untuk satu persoalan penting iaitu sejauh mana kita memahami janji yang kita lafazkan saban kali?”
Filem ‘Sepenuh Hati’ bukan sekadar menyampaikan mesej pendidikan dan patriotisme tetapi turut menekankan kepentingan membentuk jati diri generasi muda di Malaysia.
Kisah ringkas tetapi penuh makna ini mengajak penonton merenung kembali sejauh mana nilai Rukun Negara betul-betul diamalkan dalam masyarakat kita hari ini.
Menerusi inisiatif ini, PETRONAS terus komited memainkan peranan aktif sebagai syarikat nasional yang mendukung nilai perpaduan dan kemajuan negara.
Filem ini boleh ditonton di saluran rasmi YouTube PETRONAS, sebagai sebahagian daripada kempen sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami