KUALA LUMPUR: Dakwaan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa pengukuhan peranan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) tidak akan melemahkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) disangkal bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Zaid Ibrahim.
Zaid berkata, isu berkenaan bukan berkisar mengenai hak Sarawak untuk memperoleh manfaat lebih besar daripada sumber aslinya, sebaliknya bagaimana matlamat itu dicapai tanpa mengambil alih fungsi teras Petronas.
Dalam hantaran di Facebook, beliau mendakwa Petros mahu mengambil alih peranan Petronas sebagai pengagregat gas di Sarawak iaitu fungsi penting dalam rantaian bekalan gas.
Menurut Zaid, pengambilalihan fungsi tersebut berpotensi memberi kesan terhadap perniagaan dan hasil Petronas.
Beliau menganggarkan perniagaan gas Petronas di Sarawak bernilai sekitar RM10 bilion setahun, selain merujuk pertikaian membabitkan Shell yang menurutnya menyaksikan kira-kira RM80 juta sebulan dalam bayaran ditahan ketika timbul persoalan mengenai pihak yang berhak menerimanya.
Kenyataan Zaid itu menyusuli penegasan Abang Johari bahawa Petros tidak diwujudkan untuk ‘membunuh’ atau melemahkan Petronas.
Abang Johari berkata Sarawak akan terus bekerjasama dengan Petronas, pada masa sama membina keupayaan untuk memproses sumbernya di dalam negeri.
Beliau turut merujuk perjanjian Petros dengan syarikat Norway, Höegh Evi, bagi membangunkan, memiliki dan mengendalikan terminal pengegasan semula gas asli cecair (LNG) di Kuching.
Terminal berkenaan disasarkan siap pada 2029 bagi menyokong aktiviti hiliran berkaitan LNG di Sarawak.
Sarawak turut meneroka pembangunan loji LNG berskala kecil serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon di kawasan Mukah-Balingian sebagai sebahagian daripada strategi tenaga negeri.
Bagaimanapun, Zaid berpandangan pertikaian yang lebih besar bukan sekadar berkaitan usaha Sarawak memberikan peranan komersial yang lebih luas kepada Petros, tetapi turut menyentuh pemakaian Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan undang-undang petroleum persekutuan lain di Sarawak.
Tambah Zaid, sebarang rundingan perlu bermula dengan pengiktirafan terhadap hak Petronas di bawah PDA, sebelum keperluan pembangunan Sarawak serta peranan Petros dibincangkan secara membina.
Zaid memberi amaran bahawa tanpa kejelasan mengenai perkara tersebut, pertikaian berkenaan berpotensi menjadi contoh kepada negeri-negeri pengeluar sumber lain.
Katanya, perkembangan itu boleh menghakis skala operasi Petronas dan seterusnya melemahkan institusi yang berperanan untuk seluruh negara.