Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] PMX, diplomasi sukan dan 'soft power' Malaysia MADANI

Sukan menjadi sebahagian daripada leadership branding PMX. Anwar sejak awal pemerintahannya berusaha membina imej Malaysia sebagai negara yang sederhana, terbuka kepada dunia, aktif dalam diplomasi dan pada masa yang sama mengekalkan orientasi kepada kesejahteraan rakyat. -Gambar fail/Bernama
Sukan menjadi sebahagian daripada leadership branding PMX. Anwar sejak awal pemerintahannya berusaha membina imej Malaysia sebagai negara yang sederhana, terbuka kepada dunia, aktif dalam diplomasi dan pada masa yang sama mengekalkan orientasi kepada kesejahteraan rakyat. -Gambar fail/Bernama

Advertisement

DALAM hubungan antarabangsa moden, kekuatan sesebuah negara tidak lagi hanya diukur melalui saiz ekonomi, kekuatan ketenteraan atau keupayaan mengenakan tekanan kepada negara lain. 

Sarjana hubungan antarabangsa Joseph S. Nye memperkenalkan konsep soft power, iaitu keupayaan sesebuah negara memperoleh hasil yang dikehendaki melalui daya tarikan dan pujukan, bukannya paksaan atau pembayaran. 

Menurut Nye, sumber utama kuasa lembut terletak pada budaya, nilai politik dan dasar yang mampu menjadikan sesebuah negara menarik serta diyakini pihak lain.

Dalam kerangka inilah perkembangan melibatkan Piala Dunia FIFA 2026 dan kembalinya Formula 1 ke Sepang perlu ditanggapi. Kedua-duanya bukan sekadar cerita sukan. Ia memperlihatkan bagaimana kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan ruang sukan untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat, memperkukuh imej negara dan meletakkan Malaysia dalam jaringan antarabangsa yang lebih luas.

Bagi rakyat Malaysia, keputusan memastikan akses luas kepada siaran Piala Dunia FIFA 2026 mempunyai nilai sosial yang besar. Bola sepak bukan sekadar produk komersial. Ia adalah pengalaman kolektif yang merentasi kaum, umur dan kelas sosial. 

Apabila rakyat berkumpul di rumah, restoran mamak, kampus atau ruang tontonan awam untuk menyaksikan perlawanan yang sama, sukan mewujudkan apa yang jarang mampu dilakukan oleh politik, iaitu satu ruang sosial bersama.

Di sinilah hubungan antara sukan dengan Malaysia MADANI menjadi signifikan. Prinsip keterangkuman bukan hanya terjemahan kepada bantuan ekonomi atau perlindungan sosial. Ia juga merangkumi akses kepada pengalaman nasional yang dikongsi bersama. 

Apabila kerajaan memastikan acara global yang sangat diminati tidak menjadi hak eksklusif golongan yang mampu membayar langganan premium, ia membawa elemen kesejahteraan dan kebersamaan ke dalam dasar budaya popular.

Jika dilihat melalui kerangka public diplomacy, kesannya lebih luas. Diplomasi awam berbeza daripada diplomasi tradisional yang hanya berlaku antara kerajaan. Ia melibatkan usaha sesebuah negara berkomunikasi dengan masyarakat luar, membina reputasi dan mewujudkan hubungan yang akhirnya meningkatkan tarikan negara. Nye sendiri mengaitkan diplomasi awam dengan keupayaan sesebuah negara mengembangkan soft power.

Sukan merupakan medium yang sangat berkesan untuk tujuan tersebut kerana audiens globalnya jauh melampaui khalayak politik. Kajian mengenai diplomasi sukan menunjukkan bahawa acara dan tokoh sukan boleh digunakan secara strategik untuk membina imej yang positif, mempengaruhi persepsi masyarakat asing, memperkukuh hubungan serta meningkatkan daya tarikan sesebuah negara sebagai destinasi pelancongan, pelaburan, perdagangan atau pendidikan.

Formula 1 di Sepang menyediakan contoh yang hampir sempurna. Kembalinya F1 selepas sembilan tahun berlaku dalam keadaan luar biasa apabila Grand Prix Bahrain tidak dapat berlangsung di lokasi asal akibat konflik di Asia Barat. 

Formula 1 dan FIA kemudian mengumumkan bahawa Sepang akan menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix dari 2 hingga 4 Oktober 2026 melalui persetujuan melibatkan Formula 1, FIA serta kerajaan Bahrain dan Malaysia. Formula 1 sendiri menyifatkan pemilihan Malaysia sebagai bukti hubungan rapat dengan negara ini serta kekuatan kerjasama antarabangsa.

Ini mempunyai nilai simbolik yang jauh lebih besar daripada sekadar sebuah perlumbaan. Malaysia dipilih kerana negara ini mempunyai infrastruktur, pengalaman organisasi, kestabilan dan keyakinan antarabangsa yang diperlukan untuk mengambil alih acara global berprofil tinggi dalam keadaan yang tidak dirancang. Dalam bahasa soft power, credibility itu sendiri merupakan aset.

Pada masa sama, hubungan Malaysia-Bahrain mendapat satu platform diplomatik baharu. Penglibatan kepimpinan kedua-dua negara menjadikan F1 bukan sekadar acara komersial, tetapi ruang pertemuan diplomatik yang lebih santai dan berkesan.

Di sinilah konsep nation branding oleh Simon Anholt turut relevan. Anholt melihat imej sesebuah negara sebagai hasil persepsi dunia terhadap beberapa dimensi seperti pelancongan, eksport, rakyat, tadbir urus, budaya serta pelaburan. Nation branding bukan sekadar mencipta slogan atau logo, tetapi tentang bagaimana pengalaman sebenar terhadap sesebuah negara membentuk reputasinya.

Justeru, apabila Sepang kembali menjadi tumpuan Formula 1, yang dipasarkan bukan hanya litar tersebut. Yang turut dipasarkan ialah Malaysia. Imej negara disiarkan ke seluruh dunia. Media antarabangsa berkampung di Sepang. Pelancong datang. Hotel, restoran, pengangkutan dan peruncitan menerima limpahan. Pasukan, penaja dan eksekutif antarabangsa melihat sendiri kemampuan Malaysia menganjurkan acara dunia.

Itulah nation branding yang paling berkesan — bukan apabila kerajaan memberitahu dunia bahawa Malaysia hebat, tetapi apabila dunia mengalami sendiri kemampuan Malaysia.

Sukan juga menjadi sebahagian daripada leadership branding PMX. Anwar sejak awal pemerintahannya berusaha membina imej Malaysia sebagai negara yang sederhana, terbuka kepada dunia, aktif dalam diplomasi dan pada masa yang sama mengekalkan orientasi kepada kesejahteraan rakyat. Dalam hal ini, FIFA dan F1 melengkapkan naratif tersebut.

Satu membawa acara dunia kepada rakyat. Satu lagi membawa dunia datang ke Malaysia. Kedua-duanya menghubungkan dimensi domestik dengan antarabangsa.

Sudah tentu, sukan tidak boleh menggantikan penyelesaian terhadap kos sara hidup, reformasi institusi atau penciptaan pekerjaan. Tetapi negara juga hidup melalui psikologi kolektif. Rakyat memerlukan detik yang membina keyakinan bahawa negaranya masih relevan, mampu dan dihormati.

Dalam politik, keyakinan juga merupakan modal. Di sinilah pendekatan PMX mempunyai nilai strategik. Ia menunjukkan bahawa kepimpinan bukan hanya tentang mengurus krisis, tetapi juga mencipta peluang untuk memperkukuh rasa bangga nasional dan reputasi negara.

Formula 1 dan FIFA dengan itu perlu dilihat lebih jauh daripada kaca mata hiburan. Ia adalah sports diplomacy. Ia adalah public diplomacy; ia adalah nation branding. Dan pada tahap lebih besar, ia adalah usaha mengembangkan soft power Malaysia.

Malaysia tidak perlu menjadi kuasa besar untuk mempunyai pengaruh besar. Apa yang diperlukan ialah kredibiliti, daya tarikan dan keupayaan menjadikan dunia mahu datang, melihat dan berurusan dengan kita.

Melalui FIFA dan Formula 1, kepimpinan PMX sedang memperlihatkan bahawa Malaysia MADANI bukan sahaja mahu dikenali sebagai negara yang baik ditadbir, tetapi juga sebagai sebuah negara yang diyakini rakyatnya, dihormati rakannya dan kembali menarik perhatian dunia.


Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam adalah Senior Fellow di Global Peace Institute, London.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Product Recommendation Section Title

TYESO Insulated Tumbler 900ml/1200ml

TYESO Insulated Tumbler 900ml/1200ml

SUOMY EXCLUSIVE CAP PECCO BAGNAIA MOTOGP 2024 - RED

SUOMY EXCLUSIVE CAP PECCO BAGNAIA MOTOGP 2024 - RED

adidas Football Liverpool FC Bottle Unisex Red JZ4451

adidas Football Liverpool FC Bottle Unisex Red JZ4451

Men's Bag RDN MJP 069 Distro Raindoz Bandung Backpack Cool Men's Backpack Sek BRAN NB-Tp BJ

Men's Bag RDN MJP 069 Distro Raindoz Bandung Backpack Cool Men's Backpack Sek BRAN NB-Tp BJ

HER Half Moon 3L Bag in Lux Army by PUMA, One Size

HER Half Moon 3L Bag in Lux Army by PUMA, One Size

900ml 304 Stainless Steel Handheld Thermos Insulated Vacuum Tumbler Mugater Bottle with Straw Handle cawan termos

900ml 304 Stainless Steel Handheld Thermos Insulated Vacuum Tumbler Mugater Bottle with Straw Handle cawan termos

Must Watch Video

Advertisement