Seorang kakitangan Astro AWANI dilaporkan parah ditikam oleh seorang lelaki yang tidak dikenali malam tadi.

Mangsa, Ahmad Hawari Zakaria, 33 tahun, yang bertugas sebagai pengurus pentas ditikam di bahagian perut dan kini berada dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohd Roy Suhaimi Sarif berkata dalam kejadian di Jalan Usahawan, mangsa dipukul oleh tujuh orang lelaki.

Katanya beberapa lelaki telah datang ke bilik mangsa sebelum berlaku pertengkaran yang mengakibatkan mangsa dipukul.

Ketika pergaduhan itu, seorang daripada penyerang telah bertindak menikam mangsa di badan.

Menurut Mohd Roy, suspek yang memukul dan menikam mangsa merupakan rakan kepada seorang wanita yang menyewa bilik bersebelahan bilik mangsa.

Motif awal kejadian dipercayai berpunca tidak berpuas hati.

Dalam pada itu, menurut kakak mangsa, dia menerima panggilan daripada mangsa sekitar jam 12 malam memaklumkan bahawa mangsa telah ditikam.

Mangsa kini berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.

Ahmad Hawari adalah anak bongsu dan satu-satunya anak lelaki kepada pasangan Zakaria Abdullah dan Tamam Vanjour Hussin.