Skip to main content

Politik

‘Ada ahli keluar sertai parti Rafizi, tapi tidak jejas PKR' – AMK

AWANI
Muhammad Kamil (foto) berkata kehadiran ribuan perwakilan pada Kongres Nasional tahun ini membuktikan komitmen dan kesetiaan akar umbi kekal utuh bersama PKR meskipun terdapat peralihan sokongan oleh segelintir pihak. -Foto Astro AWANI
Advertisement

AYER KEROH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan tindakan sejumlah kecil ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meninggalkan parti untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) sebagai tidak menjejaskan kestabilan organisasi mahu pun perjalanan parti itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata kehadiran ribuan perwakilan pada Kongres Nasional tahun ini membuktikan komitmen dan kesetiaan akar umbi kekal utuh bersama PKR meskipun terdapat peralihan sokongan oleh segelintir pihak.

“Saya tidak nafikan memang ada permohonan yang dibuat oleh anggota parti sebelum daripada ini untuk keluar parti, ada yang memberikan alasan mereka sudah hilang kepercayaan kepada parti dan memilih untuk bersama dengan parti yang ditubuhkan oleh Saudara Rafizi.

“Saya tak tahulah berapa peratus, tetapi mengikut laporan dan angka kita, jumlah itu tidak signifikan.

"(Ia) sama sekali tidak menjejaskan perjalanan organisasi PKR," katanya dalam sidang media sempena Kongres Nasional AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pada Jumaat.

Beliau mengulas dakwaan pengasas bersama Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendakwa pihaknya menerima permohonan daripada 25 peratus ahli PKR untuk menyertai parti itu.

Dalam perkembangan berkaitan, mengulas mengenai status kepimpinan nombor dua PKR susulan tindakan penyandangnya, Nurul Izzah Anwar yang kini bercuti, Kamil menjelaskan urusan pentadbiran dan persiapan parti berjalan lancar tanpa sebarang kekeliruan di peringkat bawahan.

Menurutnya, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah dipertanggungjawabkan untuk memangku dan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden sepanjang ketiadaan Nurul Izzah.

“Kekosongan bagi tujuan melaksanakan maksud jawatan Timbalan Presiden itu akan digalas oleh Datuk Seri Saifuddin.

“Pembahagian tugas telah dibuat secara jelas di mana Pengarah Pilihan Raya kekal digalas oleh Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Naib Presiden, manakala Datuk Seri Saifuddin menjalankan tugas Timbalan Presiden sementara Saudari Nurul Izzah 'on leave' buat sementara waktu.

“Alhamdulillah, penjelasan di peringkat akar umbi telah dibuat oleh pimpinan negeri serta cabang, dan mereka menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.

"Fokus kita sekarang adalah untuk terus memperkukuh organisasi," katanya lagi.

Menyentuh mengenai tahap moral dan persediaan jentera AMK, Muhammad Kamil memaklumkan terdapat suntikan semangat baharu dalam kalangan ahli mendepani cabaran pilihan raya.

Jelasnya, AMK komited untuk mendekati kelompok belia menerusi pendekatan politik nilai dan pemikiran matang.

Must Watch Video

Advertisement