Skip to main content

Teknologi

Pixel 11 perkenal fungsi bahasa isyarat ke teks menerusi DeepMind

[TB]_Google Pixel 11 Terjemah bahasa isyarat_AMANZ
Pengguna kini boleh menggunakan bahasa isyarat untuk menghasilkan teks dalam bahasa Inggeris secara lebih pantas menerusi model Sign Language to Text (SL2T) yang dibangunkan oleh Google DeepMind. -Foto Amanz
Advertisement

MOUNTAIN VIEW: Google secara rasmi memperkenalkan siri Pixel 11 yang dilengkapi keupayaan baharu untuk menterjemah Bahasa Isyarat Amerika (ASL) kepada teks menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI), lapor Amanz.

Melalui fungsi Live Transcribe yang dinaik taraf, pengguna kini boleh menggunakan bahasa isyarat untuk menghasilkan teks dalam bahasa Inggeris secara lebih pantas menerusi model Sign Language to Text (SL2T) yang dibangunkan oleh Google DeepMind.

Google berkata model SL2T dilatih menggunakan lebih 100,000 jam data bahasa isyarat pelbagai bahasa yang merangkumi lebih 50 bahasa isyarat bagi meningkatkan ketepatan terjemahan.

Teknologi itu menggunakan kamera peranti bersama sistem MediaPipe Holistic yang menjejak titik rujukan pada wajah, badan dan tangan pengguna sebelum menukarkannya kepada teks.

Menurut Google, rakaman video asal tidak disimpan, sebaliknya hanya data geometri digunakan untuk tujuan pemprosesan.

Ciri baharu itu dijangka memudahkan golongan pekak dan kurang pendengaran berinteraksi dengan peranti mereka tanpa perlu menaip, selain membantu komunikasi dengan individu yang tidak memahami bahasa isyarat.

Buat masa ini, fungsi berkenaan hanya menyokong terjemahan daripada ASL kepada bahasa Inggeris.

Google bagaimanapun berkata sokongan bagi lebih banyak bahasa isyarat dan peranti lain akan diperkenalkan secara berperingkat pada masa hadapan.

Selain Live Transcribe, model SL2T turut disepadukan ke dalam aplikasi papan kekunci Gboard, membolehkan pengguna menggunakan bahasa isyarat untuk melakukan carian web, menghasilkan mesej, menyediakan dokumen dan berinteraksi dengan Gemini tanpa perlu menaip.

Penyepaduan teknologi tersebut mengukuhkan lagi fokus Pixel 11 terhadap aspek aksesibiliti dan komunikasi digital yang lebih inklusif.

Must Watch Video

Advertisement