Skip to main content

Politik

UMNO Subang sambut baik cadangan AMK naikkan had subsidi BUDI95

 Nozel isi minyak
UMNO Bahagian Subang menyokong saranan AMK agar had subsidi BUDI95 dinaikkan kepada 300 liter ke atas serta pelaksanaan pendidikan percuma. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: UMNO Bahagian Subang menyambut baik cadangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) berhubung tuntutan kenaikan had kelayakan subsidi petrol RON95 kepada 300 liter, serta pelaksanaan pendidikan percuma demi kepentingan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menegaskan bahawa perbezaan wadah politik wajar diketepikan apabila membabitkan isu yang menyentuh kebajikan masyarakat dan masa depan negara.

Menurut beliau, gesaan tersebut juga selari dengan perkara yang sekian lama diperjuangkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Walaupun kita berbeza pandangan dan berada dalam parti politik yang berbeza, apabila sesuatu perkara itu menyentuh kepentingan rakyat dan masa depan negara, kita harus mengetepikan perbezaan politik. Kepentingan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan bangsa, mesti menjadi keutamaan kita bersama.

"Apa yang dibangkitkan ini juga merupakan antara perkara yang telah lama diperjuangkan dan dibangkitkan oleh UMNO dan BN," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Armand berharap cadangan berkenaan mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak kerajaan untuk direalisasikan bagi membantu meringankan beban kewangan rakyat.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim menuntut agar had kelayakan subsidi petrol Budi MADANI RON95 (BUDI95) dikembalikan kepada 300 liter sebulan.

Malah, sayap Pemuda PKR itu turut mencadangkan agar kadar berkenaan dinaikkan sehingga 350 liter sebulan bagi golongan yang mempunyai keperluan mobiliti tinggi berasaskan data penggunaan sebenar.

Kamil dalam ucapan dasarnya sempena Kongres Nasional AMK 2026 di Melaka menegaskan bahawa ruang fiskal negara serta trend penurunan harga minyak dunia membolehkan kerajaan menyemak semula dasar had subsidi itu demi manfaat rakyat secara langsung.

"Kita bukan meminta subsidi tanpa had, kita meminta dasar yang memahami kehidupan rakyat kerana reformasi subsidi mesti bergerak bersama dengan reformasi untuk memberi manfaat kepada rakyat.

"Jika rakyat diminta berkorban, rakyat berhak melihat dividen daripada pengorbanan itu," katanya.

Selain subsidi bahan api, AMK turut menekankan peri pentingnya agenda pendidikan percuma serta pemerkasaan generasi muda dalam sektor strategik bernilai tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.

 

 

Must Watch Video

Advertisement