NATIONAL
PGA gagalkan cubaan seludup tanaman hiasan di Pasir Mas dan Tumpat

Nik Ros Azhan berkata kedua-dua pemandu lori dan barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk siasatan mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167). - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup masuk tanaman hiasan dari negara jiran selepas menahan dua lori berasingan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di Pasir Mas dan Tumpat, Ahad lepas.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dalam kenyataan berkata dalam kes pertama, pihaknya merampas 15,000 pokok buluh hijau dan 30 pokok ru selepas menahan sebuah lori pada 7.30 malam di hadapan Pos Pok Teh Kana, Jeram Perdah, Pasir Mas.
"Pemandu lori itu iaitu lelaki berumur 23 tahun dipercayai menjadi penghantar tanaman berkenaan ke sebuah nurseri di Johor.
"Keseluruhan rampasan termasuk lori dianggar bernilai RM1.02 juta," katanya.Beliau berkata dalam kes kedua, pihaknya merampas 115 pokok bonsai kayu hitam, 3,000 pokok bunga melur, 5,000 pokok bunga papan dan 3,000 pokok bunga jina selepas menahan sebuah lori kira-kira 10 malam di Jalan Kampung Ana, Tumpat.
Nik Ros Azhan berkata pemandu lori berkenaan iaitu lelaki tempatan berusia 42 tahun dipercayai bertindak sebagai penghantar tanaman itu ke sebuah nurseri di Perak, manakala keseluruhan rampasan termasuk lori dianggar bernilai RM2.42 juta.
Beliau berkata kedua-dua pemandu lori dan barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk siasatan mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami