KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 1,260 anak pokok durian disyaki melanggar Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dalam Ops Taring Wawasan Kelantan di Kampung Banggol Mek Pit, Rantau Panjang di Pasir Mas semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan dilakukan pada 5.30 petang oleh anggota Strike Force Kompeni B Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang menahan sebuah lori Isuzu dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan 1,000 anak pokok durian varieti Duri Hitam dan 260 anak pokok durian varieti D99 pada bahagian muatan lori itu.
“Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang memandu lori berkenaan turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen yang memenuhi keperluan berkaitan pengangkutan anak pokok itu.
“Kes disyaki melanggar Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) kerana anak pokok yang dibawa dipercayai berisiko membawa serangga perosak dan penyakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, nilai keseluruhan anak pokok yang dirampas dianggarkan RM60,400 manakala lori yang digunakan dianggarkan bernilai RM150,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM210,400.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat nurseri milik keluarganya di Rantau Panjang dan dibayar mengikut perjalanan serta kuantiti penghantaran.
“Ketika ditahan, suspek dipercayai dalam perjalanan menghantar anak pokok berkenaan ke Pengkalan Hulu, Perak bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, semua barang rampasan dan suspek yang ditahan telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut manakala operasi pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras penyeludupan anak pokok yang berisiko membawa penyakit serta serangga perosak di kawasan sempadan.
-- BERNAMA