HULU SELANGOR: Pakatan Harapan masih belum mengenal pasti calon yang bakal mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada bulan depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau masih belum membincangkan perkara itu dengan sesiapa.

Beliau berkata demikian kepada media semasa menghadiri solat Jumaat dan jamuan Hari Raya di Masjid Bandar Utama di Batang Kali pada Jumaat.

“(Boleh komen calon PRK Kuala Kubu Baharu. Adakah calon sudah dikenal pasti?)

“Saya datang sini untuk solat, untuk jamuan Hari Raya.

“Saya tidak bincang dengan sesiapa berhubung perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, ratusan penduduk tempatan hadir memeriahkan jamuan Hari Raya dan menunaikan solat Jumaat bersama perdana menteri di masjid berkenaan.

Anwar juga sempat beramah mesra dengan penduduk pada majlis itu.

Astro AWANI pada Rabu lepas melaporkan Perikatan Nasional (PN) telah mengenal pasti calon yang berpotensi untuk PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang bakal diadakan 11 Mei ini.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, calon itu akan diumumkan pada masa yang sesuai.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh sebelum ini berkata hari pengundian PRK DUN Kuala Kubu Baharu ditetapkan pada 11 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Pada Pilihan Raya Negeri yang lalu, Kee Hiong menewaskan Perikatan Nasional (PN), Henry Teoh Kien Hong (PN) dengan dengan majoriti 4,119 undi.

Turut bertanding calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Dr Siva Prakash mendapat 1,186 undi dan Chng Boon Lai dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) mendapat 527 undi.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Kee Hiong menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013.