Skip to main content

Malaysia

PH hormati kuasa Sultan Johor lantik Menteri Besar

zaliha mustafa
Pengerusi PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata PH tidak mahu menjadikan isu jawatan Menteri Besar sebagai fokus utama kempen kerana keutamaan gabungan itu adalah membentangkan dasar serta tawaran yang memberi manfaat kepada rakyat. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) menyatakan komitmen menghormati sepenuhnya Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895 serta kuasa Sultan Johor dalam melantik Menteri Besar sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata PH tidak mahu menjadikan isu jawatan Menteri Besar sebagai fokus utama kempen kerana keutamaan gabungan itu adalah membentangkan dasar serta tawaran yang memberi manfaat kepada rakyat.

Kami akan terus turun bertemu rakyat, mendengar masalah mereka dan menawarkan dasar serta penyelesaian yang mampu meningkatkan taraf hidup, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan memacu ekonomi Johor ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilaporkan meminta PH menamakan calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRN itu.

Dr Zaliha berkata PH mempunyai ramai pemimpin yang berkelayakan dan berpengalaman untuk memikul tanggungjawab mentadbir negeri sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.

Katanya, rakyat lebih memerlukan penjelasan mengenai perancangan masa depan negeri bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement