KUALA LUMPUR: Syarikat farmaseutikal tempatan, Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) bakal mengedarkan fasa kedua vaksin COVID-19, Sinovac sebanyak 300,000 bebuli lagi pada pertengahan bulan ini sebaik sahaja selesai ujian kestabilan.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, pihaknya kini dalam proses untuk mendapatkan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Produk (vaksin) kini berada di kilang kita dan dijangka selesai sepenuhnya pada pertengahan April ini.

"Sebaik sahaja mendapat kelulusan NPRA kita akan membekalkan vaksin-vaksin ini ke seluruh negara dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada Khamis.

Turut memeterai MOU adalah antara Macro Tech Ventures Sdn Bhd dan MARA.

Dalam pada itu, Zulkarnain turut memaklumkan Pharmaniaga akan menerima 400 liter vaksin Sinovac dalam masa terdekat untuk proses fill and finish.

Pharmaniaga dijangka bakal membekalkan hampir satu juta dos menjelang bulan lima ini.

Katanya, sebelum ini, Pharmaniaga mengedarkan kira-kira 200,000 bebuli vaksin yang telah melalui proses pengisian dan pembotolan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada 27 Februari lalu, bekalan vaksin Sinovac dari China selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang menerusi pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB), MH319.

Vaksin yang dihasilkan syarikat farmaseutikal di Beijing, Sinovac Biotech diuruskan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd melalui perjanjian di peringkat global.

Dalam pada itu, Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, pemeteraian dua MoU dengan Pharmaniaga dan Macro Tech Ventures Sdn Bhd adalah untuk mengukuhkan serta melestarikan perniagaan usahawan khususnya Bumiputera.

Antara lain katanya, kerjasama strategik itu adalah bagi memajukan golongan usahawan dalam usaha melengkapkan ekosistem perniagaan yang kondusif serta meluaskan rantaian bekalan ubatan dan peralatan farmaseutikal bagi menjana sosioekonomi Bumiputera agar lebih berdaya saing.