PUCHONG: Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) akan membekalkan vaksin virus COVID-19 Sinovac kepada kerajaan negeri serta pihak swasta.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope, berkata pihaknya turut dimaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) akan memohon tambahan sekurang-kurangnya dua juta lagi dos vaksin Sinovac sebagai pertimbangan melengkapkan strategi ke arah mencapai sasaran imuniti kelompok seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

Selain itu, beliau berkata syarikat farmaseutikal itu turut merancang untuk menyediakan bekalan tambahan vaksin jika terdapat keperluan negara untuk memberikan suntikan 'booster'.

"Kita bersedia untuk melaksanakannya kerana pada bulan ogos ini, Pharmaniaga akan mula mengeluarkan empat juta dos sebulan. Ini merupakan hasil daripada kajian Sinovac yang telah disampaikan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), bahawa dua dos per vial (bebuli) boleh dilaksanakan.

"Kita telah membuat proses validasi berkelompok dan telah siap, dan laporan lengkap telah dihantar ke NPRA," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa melawat anak syarikat Pharmaniaga, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS), di sini.

Perdana Menteri berkata, Pharmaniaga dijangka menyelesaikan penghantaran 12.4 juta dos vaksin COVID-19 Sinovac kepada kerajaan minggu depan, berbanding perjanjian asal pada November.

Mengulas mengenai cadangan pembekalan vaksin ke luar negara pula, Zulkarnain menyambut baik saranan Perdana Menteri agar syarikat farmaseutikal itu memberi tumpuan kepada bekalan dalam negara terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Pharmaniaga bersedia untuk mengeksport bekalan vaksin ke negara-negara luar apabila terdapat lebihan vaksin dalam negara kelak, tambahnya.

"Perdana Menteri telah meminta kami untuk melihat peluang-peluang untuk membekalkan (vaksin) ke negara-negara lain dan kita juga bersedia sekiranya mendapat arahan kerajaan.

"Kita telah mendapat banyak permintaan dari negara-negara di Asia Selatan dan Afrika, tetapi kita melihat keperluan untuk negara ini perlu diselesaikan. Kita perlu mempunyai National Stockpile untuk keselamatan. Jadi, sekiranya berlaku pandemik, kita mempunyai vaksin itu di negara ini," katanya lagi.

Ditanya mengenai kebimbangan terhadap keberkesanan vaksin Sinovac susulan ancaman varian baharu, Zulkarnain menafikan bahawa vaksin tersebut tidak berkesan.

Jelas beliau, semua jenis vaksin yang dihasilkan oleh syarikat pengeluar telah melalui kajian khusus.

"Kita telah berbincang dengan pihak Sinovac untuk mendapatkan laporan-laporan vaksin daripada varian-varian baharu. Sebab itu pihak kami dan Kementerian Kesihatan (KKM) bertungkus-lumus membekalkan dos pertama dan kedua vaksin kepada rakyat Malaysia supaya dalam memberi pelindungan dan mengekang berlakunya mutasi.

"Apabila mutasi tidak berlaku, tidak wujud varian baharu," katanya.