Skip to main content

Malaysia

Piagam Madinah bukti kepelbagaian boleh diraikan tanpa menafikan hak sesiapa - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 12 Jun -- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga, di sini, pada Jumaat. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Piagam Madinah membuktikan sebuah negara aman dan stabil boleh dibina berteraskan rasa hormat terhadap kepelbagaian agama serta kaum.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, model pemerintahan yang diperkenalkan Rasulullah SAW itu wajar dijadikan rujukan tatkala dunia hari ini berdepan krisis kemanusiaan, konflik berpanjangan dan lambakan sentimen perpecahan.

“Kita melihat sejarah umat Islam ketika Piagam Madinah sebagai paradigma panduan, iaitu asas kepada sebuah negara yang mengiktiraf kepelbagaian agama dan kaum,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga, di sini, pada Jumaat.

Menurut Anwar, kekuatan utama Piagam Madinah terletak pada pendekatan Rasulullah SAW yang mengiktiraf hak semua kelompok masyarakat tanpa menafikan kedudukan atau legitimasi mana-mana pihak.

“Nabi Muhammad SAW tidak meminggirkan legitimasi mana-mana golongan, sebaliknya Baginda memimpin satu kontrak sosial yang memelihara maruah setiap individu,” katanya.

Beliau berkata prinsip sama harus menjadi asas Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang meraikan kepelbagaian sambil mengekalkan identiti dan prinsip Perlembagaan.

“Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum. Islam adalah agama Persekutuan dan dijamin dalam Perlembagaan, khususnya dengan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama di setiap negeri.

“Namun pada masa sama, kita mahu memastikan setiap anggota masyarakat dan setiap warga negara berasa selamat serta mendapat perlindungan yang sama rata,” katanya.

Menurut Perdana Menteri lagi, pendekatan saling menghormati yang diamalkan di negara ini membolehkan rakyat pelbagai agama hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni.

“Persidangan seperti ini disambut baik oleh orang Islam dan bukan Islam adalah bukti kita mampu hidup dengan keamanan, toleransi agama dan keharmonian,” katanya.

Anwar berkata keharmonian tersebut tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada keterbukaan masyarakat untuk berinteraksi, berdialog dan memahami antara satu sama lain.

“Kita terbuka untuk berinteraksi dan berdialog. Bulan lalu saya menghadiri sambutan Hari Wesak Buddha. Sebelum itu, saya turut terlibat dalam persiapan menjelang perayaan Thaipusam.

“Kita meraikan Hari Krismas, tetapi ia sama sekali tidak menghalang kita untuk terus kekal sebagai Muslim yang teguh berpegang kepada ajaran agama dan berbangga dengan identiti Islam kita,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan agama yang sepatutnya menjadi sumber keamanan dan perpaduan sering kali dimanipulasi untuk mencetuskan permusuhan dan konflik.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin agama di seluruh dunia agar terus memainkan peranan sebagai suara moral yang mempertahankan keamanan, toleransi dan keadilan sejagat.

Must Watch Video

Advertisement