KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia akan meneruskan program latihan yang telah dirancang oleh Pengarah Kejurulatihan TeamLZJ, Wong Tat Meng, dalam persediaan menghadapi Piala Thomas 2024 di Chengdu, China pada 27 April hingga 5 Mei ini.

TeamLZJ dalam kenyataan di akaun X hari ini memaklumkan program latihan bebas luar daripada skuad kebangsaan telah dibincangkan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan mendapat persetujuan daripada Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky dan Pengarah Pentadbiran ABM Michelle Chai.

Program latihan yang disusun oleh Tat Meng bakal mempersiapkan Zii Jia pada tahap terbaik untuk beraksi pada saingan Piala Thomas dan mengekalkan prestasi bagi menghadapi lima lagi kejohanan berikutnya.

"Kami berterima kasih kepada BAM, Rexy dan Michelle atas persefahaman dan kepercayaan diberikan kepada kami untuk menguruskan pelan latihan dalam jadual kejohanan yang padat menjelang Sukan Olimpik di Paris.

"Zii Jia tidak sabar untuk bersama-sama dengan pasukan negara pada 24 April nanti," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Zii Jia telah memulakan persiapan kempen Piala Thomas pada Isnin selepas tiba di Malaysia pada 14 April lepas, setelah tamat saingan Kejohanan Badminton Asia 2024 baru-baru ini.

Selain Zii Jia, BAM turut menyenaraikan empat pemain perseorangan iaitu Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh manakala beregu pula diketuai juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Muhammad Haikal Nazri.

-- BERNAMA