KUALA LUMPUR: Pelawak Pian Cecupak atau nama sebenarnya, Mohd Rafik Abdul Rahman, meninggal dunia di rumah ibunya di Flat Sentul Murni, Taman Datuk Senu, Sentul di sini, malam ini.

Difahamkan, Allahyarham yang berusia 51 tahun menghembuskan nafas terakhir jam 8 malam tadi.

Seorang ahli keluarganya berkata, Allahyarham yang terjatuh di dalam tandas ditemui oleh ibunya.

Pada 2018, Gempak melaporkan, Pian mengakui perlu menjalani rawatan jantung dengan segera dan memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM35,000.

Menurut Pian ketika itu, doktor menasihatinya supaya segera melakukan pembedahan kerana masalah tekanan jantung yang dihadapinya amat serius.

BACA: Alami kesukaran bernafas, Pian Cecupak dikejarkan ke hospital

Sementara itu, mStar melaporkan, adik Allahyarham, Hasenah, berkata kematiannya dipercayai berpunca daripada serangan jantung.

"Arwah sememangnya mempunyai masalah jantung sejak 2018 dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan sahaja.

"Sejak kebelakangan ini, kesihatan arwah memang agak merosot. Dia selalu juga mengadu sakit dada.

"Mak jumpa arwah dah terbaring dalam bilik air sekitar pukul 8 malam tadi. Bawa ke hospital dan dapat pengesahan doktor pada 10.30 malam," katanya dilaporkan mStar.

Hasenah berkata, jenazah kini berada di rumah ibu mereka untuk urusan pengebumian.

"Jenazah akan diuruskan di surau berdekatan rumah. Insya-Allah urusan kebumian akan dilakukan pada pagi esok. Tak pasti lagi kebumi di mana," katanya.