MALAYSIA
Gangguan perkhidmatan Aerotrain KLIA bukan sebab kelemahan sistem - Anthony Loke

Perkhidmatan Aerotrain di KLIA beroperasi semula bermula 1 Julai. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan menyangkal dakwaan bahawa gangguan sementara perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi, disebabkan oleh kelemahan sistem baharu tren berkenaan.
Ringkasan AI
- Kementerian Pengangkutan menjelaskan gangguan Aerotrain di KLIA berpunca daripada kerosakan pam saliran lama, bukan kelemahan tren baharu atau kerana hujan lebat.
- Sistem keselamatan Aerotrain diaktifkan secara automatik sebagai langkah berjaga-jaga apabila air terkumpul dalam terowong melebihi paras keselamatan.
- Perkhidmatan Aerotrain disambung semula pada jam 12.15 tengah hari selepas semua pemeriksaan keselamatan selesai, dan aset baharu Aerotrain beroperasi mengikut piawaian antarabangsa.
"Pam-pam ini adalah sebahagian daripada kemudahan lama lapangan terbang, dan bukan sebahagian daripada program penggantian Aerotrain baharu.
"Apabila pam tersebut gagal berfungsi seperti sepatutnya, air hujan telah terkumpul dalam terowong dan mencapai paras keselamatan, yang secara automatik mengaktifkan sistem keselamatan Aerotrain untuk menggantung operasi sebagai langkah berjaga-jaga," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Loke menambah sistem keselamatan Aerotrain telah diaktifkan secara automatik dan operasi digantung sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan penumpang.
"Inilah sebenarnya cara sistem rel moden berfungsi - mengutamakan keselamatan penumpang melebihi segala-galanya.
"Sebaik sahaja air berjaya dikeringkan dan semua pemeriksaan keselamatan disahkan, perkhidmatan disambung semula pada jam 12.15 tengah hari tadi," ujar beliau.
Dalam masa sama, Loke turut memberi jaminan bahawa aset Aerotrain baharu di KLIA dibina mengikut piawaian antarabangsa dan kini beroperasi dengan baik.
Jelasnya, Malaysia Airports dan kementeriannya kekal komited untuk terus menambah baik perkhidmatan dan menyelesaikan sebarang isu dengan segera demi menyediakan perjalanan yang selamat dan lancar kepada semua pengembara.
Terdahulu, Malaysia Airports dalam kenyataan mengesahkan perkhidmatan Aerotrain di KLIA dihentikan sementara pagi tadi susulan takungan air di terowong laluan tren akibat hujan lebat.
Bagaimanapun, perkhidmatan disambung semula sepenuhnya pada jam 12.15 tengah hari selepas mendapat pengesahan daripada pasukan teknikal dan keselamatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami