HULU SELANGOR: Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memperkasakan sekolah kebangsaan (SK), namun pilihan aliran pendidikan untuk anak-anak merupakan hak ibu bapa.

Malah, Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata terdapat peningkatan kemasukan pelajar Melayu ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) termasuk di Kelantan.

Justeru, katanya, tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari mencabar calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao menyatakan latar belakang pendidikan rendah dan menengahnya tidak sepatutnya berlaku.

"Adakah Ahmad Fadhli percaya pelajar lepasan SJK tidak boleh menjadi wakil rakyat? Belajar di SJK bukanlah seperti menyertai pertubuhan haram kerana SJK diiktiraf oleh Perlembagaan dan mengambil peperiksaan kebangsaan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu berkata berbanding mengecam SJK, adalah lebih baik Ahmad Fadhli bertanya kepada anak-anak pemimpin Perikatan Nasional yang bersekolah di sekolah antarabangsa yang tidak menggunakan silibus dan peperiksaan kebangsaan.

Pang, 31, yang dipertaruhkan mewakili Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), masing-masing dalam semua mata pelajaran.

Keputusan akademik itu dikongsikan Pang melalui Facebook pada Isnin bagi menjawab cabaran dibangkitkan Ahmad Fadhli.

Pada PRK berkenaan, Pang ditentang oleh tiga pencabarnya iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

-- BERNAMA