MALAYSIA
Pindaan Akta Perhimpunan Aman perlu selari kebebasan Perlembagaan - Lee Lam Thye

Tan Sri Lee Lam Thye berkata keputusan berkenaan menjadi peringatan bahawa setiap undang-undang perlu selari dengan kebebasan asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat menggesa semakan semula terhadap Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi menegakkan sepenuhnya hak perlembagaan untuk berhimpun secara aman, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan satu peruntukan dalam undang-undang berkenaan sebagai tidak berperlembagaan.
Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata keputusan berkenaan menjadi peringatan bahawa setiap undang-undang perlu selari dengan kebebasan asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
"Kami turut menyokong sepenuhnya gesaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) agar kerajaan melibatkan kumpulan masyarakat sivil, pakar perundangan dan semua pihak berkepentingan yang relevan dalam proses semakan ini.
"Perbincangan yang menyeluruh penting bagi memastikan sebarang pindaan yang dilaksanakan bersifat praktikal, seimbang dan selari dengan aspirasi masyarakat yang demokratik," katanya dalam kenyataan hari ini.Lee berkata beberapa prinsip utama yang perlu dipertimbangkan dalam semakan terbabit termasuk memastikan undang-undang yang dipinda selari sepenuhnya dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata, tertakluk hanya kepada sekatan yang munasabah demi kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam dan moral.
Beliau berkata peruntukan yang mengenakan hukuman keterlaluan atau tidak seimbang terhadap penganjur atau peserta perlu dihapuskan supaya tidak menghalang perhimpunan awam yang sah.
Lee berkata prosedur yang jelas, munasabah dan tidak membebankan perlu disediakan agar keperluan pentadbiran tidak menjadi penghalang kepada pelaksanaan hak berperlembagaan dalam penganjuran perhimpunan.
"Undang-undang juga perlu menegakkan prinsip perkadaran, iaitu sebarang sekatan hanya boleh dikenakan jika benar-benar diperlukan dan menggunakan cara yang paling minimum untuk mencapai matlamat yang sah.
"Selain itu, undang-undang ini juga perlu melindungi peserta daripada gangguan atau tindakan sewenang-wenangnya dengan menetapkan garis panduan yang jelas kepada penguat kuasa untuk menguruskan perhimpunan dengan mengutamakan dialog dan meredakan ketegangan," katanya.
Lee berkata hak untuk berhimpun secara aman adalah lambang kematangan sesebuah demokrasi dan tidak harus dilihat sebagai ancaman, sebaliknya sebagai saluran yang sah bagi rakyat untuk menyuarakan pendapat, mengambil bahagian dalam perbincangan awam serta memastikan pihak yang membuat keputusan bertanggungjawab.
Pertubuhan itu katanya, turut menggesa kerajaan memastikan kerajaan memastikan pindaan Akta Perhimpunan Aman bukan sahaja selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, tetapi juga memperkukuh imej Malaysia sebagai sebuah negara yang menghormati hak asasi manusia, kebebasan demokratik dan prinsip kedaulatan undang-undang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami