Pindaan Akta PERKESO 2025, MEF gesa pelaksanaan seimbang dan mampan

Syed Hussain berkata penambahbaikan itu mesti disokong oleh perancangan kewangan yang telus dan mekanisme pelaksanaan yang cekap untuk memastikan sistem tersebut terus diyakini. - Gambar fail/MEF
KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyeru agar pindaan Akta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 2025 dilaksanakan secara seimbang dan mampan walaupun terdapat penambahbaikan ketara yang diperkenalkan, termasuk perlindungan 24 jam, faedah yang dipertingkatkan serta sokongan mobiliti dan latihan baharu kepada pekerja.
Ringkasan AI
- Majikan perlu pindaan PERKESO 2025 dilaksanakan secara seimbang dan mampan bagi perlindungan 24 jam, faedah yang dipertingkatkan, dan sokongan mobiliti serta latihan baharu kepada pekerja.
- Pindaan harus disokong dengan perancangan kewangan telus dan mekanisme pelaksanaan yang cekap bagi memastikan sistem perlindungan sosial terus kukuh.
- Perlindungan diperluas kepada kemalangan bukan berkaitan kerja dengan ketelusan asas aktuari, garis panduan tuntutan yang jelas, dan program sokongan latihan yang relevan dengan industri.
"Apabila faedah diperluas, kemampanan jangka panjang dana PERKESO menjadi lebih kritikal. Majikan dan pekerja memerlukan jaminan bahawa perlindungan yang dipertingkat itu kukuh dari segi kewangan, berdasarkan kajian aktuari yang tepat dan dilaksanakan mengikut garis panduan yang jelas supaya tidak disalahgunakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Hussain turut menekankan perlunya garis panduan tuntutan serta prosedur pengesahan yang jelas bagi mengekang risiko salah laku, selain menyifatkan peluasan perlindungan kepada kemalangan bukan berkaitan kerja merupakan satu perubahan besar dalam kerangka perlindungan PERKESO.
Beliau berkata walaupun kadar caruman pekerja kekal tidak berubah, perlu ada ketelusan tentang asas aktuari bagi sebarang peningkatan caruman, selain garis masa pelaksanaan secara berperingkat dan dimaklumkan dengan jelas bagi meminimumkan kesan terhadap pekerja.
"Peningkatan caruman mesti disokong dengan data yang jelas. Pekerja perlu memahami mengapa penyelarasan itu diperlukan dan bagaimana ia menyumbang kepada ketahanan sistem tersebut pada jangka masa panjang," katanya.
Beliau turut mengalu-alukan pengenalan elaun mobiliti dan peluasan sokongan latihan, namun menegaskan bahawa program sedemikian mesti selaras dengan keperluan sebenar industri.
"Sokongan latihan harus memberi keutamaan kepada kemahiran berimpak tinggi dan relevan dengan industri bagi membantu rakyat Malaysia mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, bukan sekadar menambah bilangan kursus. Majikan perlu dilibatkan dalam merangka program ini," katanya.
Syed Hussain berkata walaupun pindaan itu tidak melibatkan peningkatan kos perniagaan, majikan dijangka berdepan beban kerja pentadbiran lebih tinggi, keperluan untuk mengemas kini proses sumber manusia serta potensi berlaku pertikaian sekiranya tiada definisi jelas mengenai kecederaan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
Sehubungan itu, MEF menyeru kerajaan dan PERKESO untuk memperkukuh libat urus dengan majikan, menyediakan latihan mencukupi dan meningkatkan sistem sokongan digital bagi memastikan pelaksanaan pindaan berjalan dengan lancar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami



