PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan membentangkan cadangan pindaan Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara di Parlimen bulan ini.

Perdana Menteri menjelaskan, ia bertujuan untuk meminda perkataan 'bapa' kepada 'ibu bapa' atau 'ibu atau bapa' selepas draf itu dibentangkan kepada Majlis Raja-raja.

“Sukacita saya maklumkan bahawa istilah bapa dalam Perlembagaan Persekutuan itu dari segi hak anak-anak menjadi warganegara akan digantikan dengan ibu bapa atau ibu atau bapa.

“Setelah begitu lama, puluhan tahun perkara ini dibangkitkan, Kerajaan Madani di bawah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, kita dapat lakukan pindaan yang sangat bererti ini,” katanya pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, pada Jumaat.

Sementara itu, Anwar turut memaklumkan beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk memberi perhatian segera terhadap kes berkaitan gangguan seksual.

Beliau berkata Akta Anti Gangguan Seksual 2022 (Akta 840) dan Tribunal Anti Gangguan Seksual sedia ada tidak mencukupi jika penguatkuasaan tidak dilaksanakan dengan berkesan.

"Hal ini sebenarnya menggusarkan kerana, kalau tengok liputan media, kes gangguan seksual terhadap anak-anak berlaku meluas, dari keluarga, guru dan ustaz.

"Kerana itu, kebetulan tadi saya bertemu dengan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara, saya arahkan pihak PDRM lebih pantas bertindak ke atas laporan.

"Undang-undang saja tidak cukup kalau tak ada penguatkuasaan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, Kabinet meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan khususnya hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang bernikah dengan pasangan bukan rakyat Malaysia.

Jelasnya, cadangan itu diluluskan selepas beliau membentangkannya ketika mesyuarat Kabinet pada Jumaat.