KUALA LUMPUR: Social and Economic Research Initiative (SERI) menyokong salah satu Pindaan Perlembagaan Kewarganegaraan yang merupakan kemenangan berikutan pemerolehan hak sama rata kepada golongan ibu berwarganegara Malaysia yang memberi hak penurunan kewarganegaraan secara automatik kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara, sama seperti hak keistimewaan yang diperolehi oleh para bapa yang berwarganegara Malaysia. Pun begitu, kami turut melahirkan kebimbangan Pindaan seksyen-seksyen lain Rang Undang-Undang (RUU) kewarganegaraan ini terhadap nasib kanak-kanak terdampar terutamanya di Sabah yang berisiko tinggi untuk bergelar stateless di tanah air.

STATUS KANAK-KANAK TANPA KERAKYATAN

Sejak 2013 sehingga kini, sebanyak 59,000 permohonan dikemukakan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan. Sejumlah 35,000 permohonan daripada kesemuanya telah diproses (dengan 98% kelulusan
mendapatkan kewarganegaraan). Kementerian Dalam Negeri telah menyatakan tekad untuk menyelesaikan baki 14,000 permohonan kewarganegaraan menerusi kuat kuasa undang-undang bagi kategori anak

luar nikah, anak angkat atau anak terbiar yang melebihi umur bayi sebelum 31 Disember 2024 ini.

Pindaan terhadap Seksyen 1(a) Jadual Kedua, Bahagian Dua Perlembagaan Persekutuan ini mengakibatkan anak-anak kepada ibu bapa yang tidak mempunyai kewarganegaraan tetapi bertaraf pemastautin tetap di Malaysia tidak akan diberikan kewarganegaraan secara automatik. Kami berpendapat, cadangan pindaan ini akan menyebabkan lebih ramai kanak-kanak tersepit dalam status tanpa kerakyatan berikutan ikatan kepada status ibu bapa mereka sebagai penduduk tetap.

Bahkan, pindaan lain yang berbentuk regresif adalah penggantian istilah kuatkuasa undang-undang kepada pendaftaran yang bakal menyebabkan kanak-kanak baru lahir yang dijumpai atau ditinggalkan (foundling children) tidak lagi berhak untuk mendapat kewarganegaraan secara automatik. Kami sedia maklum dengan penjelasan Kementerian Dalam Negeri bahawa pindaan permohonan diteruskan menerusi proses pendaftaran bagi mengelakkan penipuan susulan banyak kes penipuan dokumen dan identiti sebelum ini. Namun begitu, berikutan proses pendaftaran yang diketahui secara umum perlu melalui birokrasi yang memakan tempoh masa yang lama - membangkitkan tanda tanya tentang jaminan mendapatkan kewarganegaraan bagi pemohon. Status bukan warganegara menghalang akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan serta perkhidmatan kesihatan. Bayangkan jurang kesenjangan yang bakal melebar sekiranya peluang-peluang ini terus dinafikan bagi mereka yang mampu menjadi insan produktif bagi negara.

JUSTIFIKASI PINDAAN PERLEMBAGAAN

Kementerian Dalam Negeri telah memberi justifikasi terhadap pindaan ini bahawa kewujudan warga asing seramai 3.5 juta berpotensi mengancam keselamatan negara serta kewarganegaraan merupakan suatu hak
keistimewaan yang memerlukan pindaan. Majlis Peguam Negara telah menyatakan pernyataan hak kewarganegaraan sebagai sebuah keistimewaan bakal menutup peluang dan harapan golongan tanpa
kerakyatan bagi memperoleh hak asasi serta kewarganegaraan yang diperjuangkan. Secara khusus di negeri Sabah, ketiadaan garis sempadan yang jelas dalam membezakan di antara kelompok yang tidak berkelayakan dengan golongan stateless menimbulkan tanda tanya adakah pindaan ini melindungi golongan tanpa kerakyatan terutamanya di Sabah? Hal ini demikian kerana pindaan kewarganegaraan yang tidak memberikan gambaran yang jelas terhadap status mereka yang lahir dan tinggal di Sabah, tetapi tidak memperoleh kerakyatan menjadi kebimbangan utama mereka. Kami bimbang pindaan terbabit berisiko untuk meningkatkan jumlah golongan tanpa kerakyatan di Sabah.

Justeru, SERI mencadangkan agar sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) ditubuhkan bagi memastikan perbincangan konstruktif mewakili semua pemegang taruh termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak kewarganegaraan terhadap kelompok tertentu perlu diambil kira bagi memastikan tidak berlakunya penindasan dan diskriminasi, memandangkan RUU Kewarganegaraan ini yang telah ditunda oleh Kementerian Dalam Negeri kepada bulan Jun kelak.



*SERI adalah sebuah badan pemikir tidak berpartisan yang memperomosi polisi berasaskan bukti dalam menangani ketidaksaksamaan, khususnya dalam yang berkaitan teknologi dan masyarakat.

**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.