Sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan 1994 yang mengehadkan kuasa Yang Di-Pertuan Agong perlu mengambil kira semua faktor untuk melicinkan undang-undang rakyat dan negara.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pindaan pada 1994 itu juga bukan bertujuan merampas kuasa namun untuk kebaikan pentadbiran negara.

"Jika itu dibuat, ia untuk kepimpinan negara kita. Dalam hal ini sebenarnya yang berkuasa meminda peruntukan adalah Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

"Mereka bertanggungjawab jika ada keperluan meminda. Ia bukan soal merampas kuasa untuk menggubal undang-undang," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Program Perdana Bermalam di Muzium 2016 di sini, hari ini.

Program yang dijalankan serentak pada petang 30 Ogos dan berakhir pada petang 31 Ogos itu akan diselitkan dengan segmen khas bagi mengenang jasa perwira negara dengan kerjasama pihak Muzium Tentera Darat.

Program itu turut diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai Penyertaan Peserta Bermalam Serentak Terbanyak Bagi Program Pendidikan di Muzium yang melibatkan 1,573 penyertaan di 21 muzium di seluruh negara.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kerajaan sentiasa bersikap terbuka dalam isu pindaan Perlembagaan Persekutuan 1994 namun ia perlu dikaji secara menyeluruh untuk mengelakkan persepsi pentadbiran negara yang tidak konsisten.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, UMNO tidak berhasrat untuk mengubah semula pindaan itu dan berpendapat, masih ada ruang penambahbaikan supaya pindaan yang telah dibuat itu memberi kebaikan untuk negara.

Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan, pindaan yang dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pemerintahannya adalah atas dasar kepentingan peribadi bekas Perdana Menteri itu.

Dalam pada itu jelas Mohamed Nazri, pindaan yang dibuat semasa kepimpinan Dr Mahathir telah difikirkan bekas perdana menteri itu untuk melicinkan undang-undang.

Mohamed Nazri kemudian turut melancarkan buku Patriotisme - Konsep Proses dan Impak Latihan oleh Dr Jurij Jalaludin.